Semakan daftar pemilih Disember 2024

PUTRAJAYA 20 Feb. – Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember Tahun 2024 (DPT BLN12/2024) akan berakhir pada 22 Februari ini selepas dibuka untuk semakan sejak 22 Januari lalu.

Orang ramai boleh membuat semakan sehingga Sabtu ini sama ada melibatkan pengundi baharu, pertukaran bahagian pilihan raya atau pemilih bertukar status/ kategori pengundi.

DPT BLN12/2024 yang diperaku dan diwartakan itu mengandungi 42,333 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Disember 2024 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Selain itu, ia mengandungi 7,844 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,814 pemilih bertukar kategori pengundi atau status.

SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https:/ /mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.

Kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-88927218.

Selain itu sekiranya pemilih mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN12/2024, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Related posts

Leave a Comment