Jokowi yakin kerja di Nusantara Julai

JAKARTA 5 Jun – Presiden Indonesia, Joko Widodo yakin dapat memulakan kerja di pejabat baharu di Nusantara, Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur pada Julai.

“Insya-Allah, ia akan siap. Saya sangat optimis mengenai pejabat ini,” kata Jokowi seperti dilaporkan Biro Perhubungan Awam, Media dan Informasi Sekretariat Presiden.

Beliau berkata satu-satunya keperluan yang tinggal adalah pemasangan bekalan air.

Dalam lawatan kerjanya ke wilayah itu sejak Selasa, beliau melihat kemajuan pembangunan beberapa infrastruktur fasa pertama di Nusantara mencapai kira-kira 80 peratus.

Jokowi juga memeriksa tapak untuk sambutan Hari Kemerdekaan ke-79 republik itu yang akan diadakan di sana pada 17 Ogos, dan menyatakan semua persiapan dan tempat hampir siap.

Kami telah memeriksa semuanya dari lokasi hingga urutan upacara dan semuanya baik,” katanya.

Seorang pegawai dari Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Rakyat, Diana Kusumastuti menyatakan bahawa pembinaan Istana Presiden di Nusantara berjalan mengikut seperti yang dirancang untuk disiapkan pada Julai.

“Bahagian dalaman perlu siap selewat-lewatnya akhir Julai supaya pada 1 Ogos, Istana boleh digunakan untuk peringatan nasional sehingga 17hb,” katanya.

Melalui hantaran di Facebooknya, Jokowi berkata, pembinaan Arena Botanica dari PT Arena Graha Andalan merupakan kemudahan sokongan di Ibu Kota Nusantara (IKN).

“Saya menghargai perkembangan ini kerana ia menyokong penginapan, pengangkutan dan penggunaan awam.

Arena Botanica dijangka mengintegrasikan lima jenama restoran terkenal, yang dapat mengatasi cabaran kemudahan kulinari dalam masyarakat sekitar.

Kerajaan akan terus berusaha menjadikan kemudahan di IKN lebih lengkap dan memudahkan keperluan harian rakyat,” katanya.

(Foto Fb Jokowi)

Related posts

Leave a Comment