RIYADH – Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Liga Dunia Islam menyertai negara-negara Arab mengecam serangan Israel ke atas Qatar yang disifatkan sebagai kejam dan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.
Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jordan dan beberapa negara Arab lain menyifatkan serangan itu pelanggaran Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kedaulatan serta keselamatan Qatar.
Kementerian Luar Negeri Arab Saudi menegaskan tindakan Israel itu boleh menjejaskan keselamatan dan kestabilan rantau, serta menyeru masyarakat antarabangsa mengecam dan menghentikan pelanggaran terbabit.
Dalam pada itu, Putera Mahkota Mohammed bin Salman menghubungi Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, bagi menyatakan solidariti penuh Arab Saudi terhadap Qatar.
Beliau berjanji menyediakan segala bantuan untuk melindungi keselamatan dan kedaulatan negara itu.
Raja Jordan, Abdullah turut menyatakan sokongan penuh negara itu kepada Qatar dan menegaskan keselamatan Qatar adalah keselamatan Jordan.
Jurucakap Kementerian Luar Jordan, Fuad Majali, menegaskan bahawa serangan itu berisiko mencetuskan keganasan dan konflik lebih lanjut serta mengancam kestabilan serantau dan antarabangsa.
UAE turut mengecam serangan itu, dengan Menteri Luarnya, Sheikh Abdullah bin Zayed Al-Nahyan menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran terang-terangan dan pengecut.
Mesir berkata, serangan itu adalah contoh berbahaya yang tidak boleh diterima dan menegaskan ia menjejaskan usaha global untuk mengurangkan ketegangan di rantau ini.
Kementerian Luar Qatar pula menegaskan mereka tidak akan bertolak ansur dengan sebarang ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan negara itu.
Nnn
