KUALA LUMPUR 18 Feb – Tiada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan suatu undang-undang baharu seperti Akta Anti Diskriminasi Kaum, kata Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata ketika ini memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada yang dilihat sudah memadai dalam memastikan hubungan antara kaum terpelihara.
Katanya, terdapat kira-kira 10 peruntukan undang-undang dalam membendung perkara berkenaan termasuk melalui Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Tegasnya, sesiapa yang dengan sengaja melakukan apa-apa perbuatan, mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menggugat perpaduan kaum dan agama boleh disiasat dan didakwa mengikut akta berkenaan.
“Penguatkuasaan yang telus dan adil, tanpa mengira latar belakang etnik, agama dan kelas sosial adalah amat penting untuk memastikan keharmonian terus terpelihara,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta Menteri Perpaduan Negara menyatakan sama ada suatu Akta Anti-Diskriminasi Kaum akan digubal untuk membendung gejala peristiwa perkauman yang kian melarat dalam kalangan pemimpin parti politik dan individu yang bersikap estremis dan rasis termasuk peristiwa terkini yang membabitkan seorang penjaja di Sepang.
Bagaimanapun, Aaron berkata jika keadaan mendesak dan kerajaan berpandangan undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula bagi tujuan mengekang sesetengah ucapan atau kenyataan (hate speech) atau perbuatan provokasi yang boleh memecahbelahkan masyarakat dengan sentimen perkauman, kementerian akan menyokong penuh hasrat berkenaan.
Berhubung insiden membabitkan seorang penjaja di Sepang yang enggan menjual jagung kepada kaum India dengan meletakkan papan tanda berunsur perkauman, beliau berkata kementerian menggerakkan anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai orang tengah dalam menyelesaikan masalah berkenaan.
Katanya, sesi permohonan maaf diadakan di sebuah restoran di Sepang yang turut dihadiri oleh wakil masyarakat India, pempengaruh, wakil penduduk, wakil dari Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta pihak polis.
“Peranan KRT dalam menyelesaikan polemik ini turut memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap peranan KRT sebagai ejen perpaduan dan penyelesai masalah. Ini juga menekankan pentingnya kerjasama antara pemimpin komuniti dan pihak berkuasa untuk memastikan suasana yang harmoni dan aman terpelihara.
“Saya ingin menegaskan bahawa kita semua harus sentiasa berusaha memastikan bahawa setiap perkataan dan tindakan kita tidak menimbulkan perasaan tidak selesa, ketegangan, atau salah faham dalam kalangan penganut agama, budaya, dan kaum yang berbeza,” katanya.
Beliau juga memberitahu, tiga Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan perkauman juga sudah dimuktamadkan untuk tidak diteruskan membabitkan RUU Kebencian Agama dan Kaum, RUU berkaitan Suruhanjaya Keharmornian dan Rekonsiliasi Nasional dan RUU Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi.
Ini kerana katanya, peruntukan yang ada dalam RUU itu adalah bersamaan dengan undang-undang Kanun Keseksaan yang dilaksanakan negara kini.
Katanya , melalui peruntukan di bawah Kanun Keseksaan, terdapat tujuh seksyen iaitu Seksyen 295; Seksyen 296; Seksyen 298; Seksyen 298A; Seksyen 504, Seksyen 505 dan Seksyen 506 bagi tujuan siasatan dan pendakwaan.
“Ia boleh mengenakan hukuman terhadap pihak yang dengan sengaja melakukan perbuatan, mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menggugat perpaduan kaum,” katanya.
Nnn