Jangan abaikan kebajikan anak yatim, asnaf

SHAH ALAM 18 Feb. –  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya tidak mengabaikan anak-anak yatim dan golongan asnaf di negeri ini.

Baginda bertitah, pihak JAIS dan juga Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) hendaklah memainkan peranan membantu golongan ini dan memastikan mereka mendapat pendidikan dan keperluan asas yang baik dan sempurna.

Justeru baginda juga berharap tidak ada individu atau kumpulan tertentu mempergunakan golongan anak yatim dan asnaf di Selangor untuk kepentingan dan keuntungan peribadi.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Sultan Sharifuddin juga mengingatkan JAIS mengawasi dan menambah baik sistem sekolah tahfiz di negeri ini, dengan sekolah tidak berdaftar dan tidak memenuhi syarat hendaklah ditutup.

Titah baginda, keadaan fizikal, fasiliti bangunan dan asrama sekolah tahfiz perlu dilengkapi dengan aspek keselamatan diiktiraf, contohnya alat pencegah kebakaran di sekolah hendaklah dalam keadaan baik dan diluluskan pihak bomba.

“Sekolah-sekolah tahfiz tidak berdaftar dan tidak memenuhi syarat hendaklah ditutup,” titah baginda

Dalam pada itu, baginda sekali lagi mengingatkan JAIS supaya terus membanteras ajaran sesat yang menyeleweng, selain berusaha mengadakan program untuk mengukuhkan akidah umat Islam dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Beta selaku ketua agama Islam di Negeri Selangor amat memandang serius terhadap pembangunan dan kebajikan umat Islam di negeri ini.

Beta suka mengingatkan lagi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya terus membanteras ajaran-ajaran sesat yang menyeleweng dan berusaha mengadakan program untuk mengukuhkan lagi akidah umat Islam dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Selangor berharap kerajaan negeri mengambil langkah proaktif menangani isu bencana seperti banjir dan tanah runtuh dengan melaksanakan perancangan rapi supaya tragedi banjir yang dahsyat tidak berulang.

Baginda juga mahu melihat Rancangan Tebatan Banjir oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang berjumlah RM1.774 bilion dipercepatkan..

Menjelang Ramadan, baginda juga menitahkan hanya mereka yang benar-benar mahu berniaga diberikan lesen perniagaan di bazar Ramadan supaya tidak dimanipulasi atau dijual hak pelesenannya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Beta difahamkan kerajaan beta ada menyediakan tapak bazar Ramadan untuk umat Islam menjual pelbagai juadah berbuka puasa dan persiapan sambutan Aidilfitri.

Beta mahu tapak bazar Ramadan diberi kepada yang benar-benar mahu berniaga. Penjualan hak pelesenan bazar Ramadan kepada pihak ketiga akan menyebabkan harga barangan menjadi mahal, akhirnya membebankan rakyat,” titah baginda.

Nnn

Related posts

Leave a Comment