Hamas dakwa Israel langgar gencatan senjata

KAHERAH – Kementerian Dalam Negeri yang dikendalikan Hamas mendakwa, Israel melanggar syarat gencatan senjata selepas tiga pegawai polis Palestin di timur Rafah, selatan Semenanjung Gaza, terkorban dalam serangan udara semalaman..

Pegawai Palestin berkata, Israel juga melanggar syarat gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 19 Januari. dengan terus menyekat kemasukan kelengkapan untuk membersihkan runtuhan serta tempat perlindungan penduduk yang dipindahkan di wilayah itu.

Mereka juga mendakwa pesakit dihalang daripada keluar untuk mendapatkan rawatan di hospital di Mesir.

Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan berkata tiga pegawai polis yang terbunuh itu dikerahkan ke kawasan berkenaan untuk mengawal keselamatan kemasukan trak bantuan ke Gaza.

“Kementerian … mengutuk jenayah ini dan menggesa perantara serta masyarakat antarabangsa memaksa pihak penjajah menghentikan serangan terhadap pasukan polis, yang juga adalah sebuah badan awam,” menurut kenyataan itu.

Tentera Israel pula mendakwa serangan itu menyasarkan beberapa individu bersenjata yang sedang bergerak ke arah pasukan Israel yang ditempatkan berdekatan dan menyatakan ‘serangan memusnahkan sasaran’.

Tentera Israel menggesa penduduk Gaza mematuhi arahan pihaknya dan mengelakkan diri daripada menghampiri pasukan tentera Israel di kawasan terbabit.

Di Gaza, seorang pegawai Kementerian Kesihatan berkata, Israel menghalang keluar puluhan pesakit dan warga Palestin yang cedera dan sepatutnya dibawa menerima rawatan di hospital di Mesir.

Pegawai yang enggan dikenali kerana isu sensitiviti, menyatakan Israel masih belum memberikan kebenaran untuk mereka melintasi sempadan Rafah.

Setakat ini, belum ada maklum balas segera daripada pihak Israel terhadap kenyataan pegawai kesihatan itu.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment