PUTRAJAYA 13 Feb. – Syed Mokhtar Al-Bukhary melalui Padiberas Nasional Berhad (Bernas) akan menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.
Anwar Ibrahim berkata, Syed Mokhtar sudah mempersetujui peruntukan berkenaan selepas beliau menghubungi tokoh korporat itu, hari ini.
Perdana Menteri berkata, ia susulan pengumuman Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, mengenai keputusan kerajaan menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan, berkuat kuasa 16 Februari ini.
“Saya juga ingin menyatakan penghargaan kepada BERNAS yang telah bersama-sama kerajaan dalam memastikan kebajikan pesawah terbela. Sebelum ini, BERNAS telah menyalurkan RM60 juta kepada pesawah-pesawah miskin.
“Susulan pengumuman hari ini, saya telah menghubungi Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, dan Alhamdulillah, beliau bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi menyokong usaha Kerajaan membela nasib pesawah miskin.
Insya-Allah, kerajaan akan menyalurkan peruntukan ini secara terus kepada pesawah-pesawah miskin dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar berkata, penyelarasan harga lantai belian padi itu adalah yang kedua dilaksanakan dalam tempoh dua tahun untuk menambah pendapatan pesawah.
Beliau memaklumkan bahawa kerajaan pernah mengumumkan penyelarasan pertama pada 2023 setelah hampir 10 tahun harga lantai belian padi kekal pada harga RM1,200.
“Usaha membantu pesawah menjadi antara agenda pertama saya tatkala diberi amanah mengemudi negara,” katanya.
Bagi memastikan penyelarasan harga lantai belian padi ini tidak menjejaskan rakyat, kerajaan memperuntukkan subsidi sekitar RM150 juta kepada pengilang padi, sekali gus memastikan harga jualan maksimum beras putih tempatan kekal RM2.60 sekilogram.
Nnn