MoU pembantu rumah dijangka selesai

PUTRAJAYA 11 Nov. – Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan pengambilan dan perlindungan pembantu rumah dari Indonesia (PDI) di Malaysia, dijangka diselesaikan dalam masa terdekat.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini proses memuktamadkan MoU itu sedang berjalan di antara Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia.

“Saya dan Bapak Presiden mengambil maklum mengenai kemajuan proses bagi memuktamadkan MoU Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia antara Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia.

“Kami percaya isu-isu yang tertunggak akan dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat,” katanya dalam satu kenyataan pada sidang media bersama Joko Widodo sempena lawatan rasmi ke republik itu.

Semasa pertemuan dengan Joko Widodo, Perdana Menteri turut menyatakan komitmen Malaysia untuk terus memastikan kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di negara ini tetap dipelihara.

Ismail Sabri berkata, langkah itu turut dicerminkan melalui kelulusan pindaan terhadap Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) tahun lalu, yang turut menjamin keselesaan penginapan pekerja, rakyat asing, selain rakyat Malaysia.

Beliau turut menyatakan penghargaan Malaysia terhadap sumbangan pekerja migran warganegara Indonesia kepada pembangunan ekonomi Malaysia dan kehidupan rakyat negara ini.

“Saya telah memberi jaminan kepada Bapak Presiden, Kerajaan Malaysia akan terus memastikan kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia tetap dipelihara,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, Malaysia juga berharap agar Program Rekalibrasi yang dilanjutkan oleh Kerajaan Malaysia sehingga penghujung tahun ini, dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warganegara Indonesia di Malaysia yang ingin pulang secara sukarela atau untuk bekerja secara sah di Malaysia.

Related posts

Leave a Comment