GAZA – Israel mengancam untuk melancarkan ‘perang baharu’ terhadap Hamas dan melaksanakan pelan Presiden Amerika Syarikat (AS) untuk mengusir rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza sekiranya tebusan tidak dibebaskan hujung minggu ini.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz itu mengeluarkan kenyataan itu selepas Hamas menegaskan pihaknya tidak tunduk terhadap ancaman AS dan rejim Zionis berhubung pembebasan tebusan di bawah perjanjian gencatan senjata yang rapuh.
“Perang Gaza yang baharu… tidak akan berakhir tanpa kekalahan Hamas dan pembebasan semua tebusan. Ia juga akan membolehkan realisasi visi Presiden AS Trump untuk Gaza,” katanya.
Pada hujung minggu ini bakal berlangsung pertukaran tebusan-tahanan keenam seperti dijadualkan, mengikut terma perjanjian berkenaan.
Hamas pula menegaskan yang pihaknya akan menangguhkan urusan pembebasan itu dengan alasan pelanggaran dilakukan oleh Israel.
Beberapa jam kemudian, Presiden AS, Donald Trump masuk campur dengan amaran bahawa ‘malapetaka’ akan tercetus jika Hamas gagal membebaskan semua tebusan menjelang waktu itu.
Ketika ini, perantara Qatar dan Mesir sedang berusaha untuk menyelamatkan perjanjian gencatan senjata yang berkuatkuasa bulan lalu.
Perkara itu dimaklumkan seorang sumber Palestin dan seorang diplomat yang biasa dengan rundingan itu.
