RANTAU PANJANG 10 Feb. – Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menggagalkan cubaan menyeludup lebih 4,000 pokok orkid dianggarkan bernilai RM2 juta, di Kampung Parit Air, dekat sini petang semalam.
Dalam kenyataannya, PGA memaklumkan, pihaknya menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan tugas dalam Op Taring Wawasan Kelantan di sini.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebih 4,000 pokok bunga jenis orkid dipercayai diseludup dari Thailand ditemui di dalam kenderaan tersebut. Tanaman itu juga disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit,” kata kenyataan itu.
Susulan itu, pemandu lori, lelaki tempatan berusia 59 tahun dipercayai menjadi penghantar tanaman tersebut ke pasaran tempatan ditahan dan kes disiasat dibawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5.
Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya.
Nnn