JAKARTA – Hampir 81 peratus rakyat Indonesia berpuas hati dengan kepemimpinan Prabowo Subianto selepas 100 hari memegang jawatan Presiden Indonesia pada Oktober 2024.
Tinjauan terkini oleh Litbang Kompas menunjukkan ia pencapaian luar biasa, malah lebih tinggi daripada rekod yang dicatatkan oleh mantan Presiden, Joko Widodo (Jokowi), dalam tempoh yang sama.
Tinjauan itu mendapati bahawa 80.9 peratus responden menyatakan rasa puas hati terhadap pentadbiran Prabowo, dengan 94.1 peratus menganggapnya mempunyai imej positif sebagai presiden.
Angka itu bukan sahaja mengatasi 65.1 peratus puas hati yang pernah diterima oleh Jokowi dalam tempoh 100 hari pertama pada 2014, malah ia turut mencerminkan sokongan kuat terhadap dasar populis yang diperkenalkan oleh Prabowo.
Probowo memegang jawatan itu selepas memenangi pilihan raya Presiden dengan majoriti besar, bersama pasangannya Gibran Rakabuming Raka, iaitu anak Jokowi.
Peratusan itu sekali gus itu memaparkan sokongan tinggi yang diterimanya selepas berjaya melaksanakan beberapa janji ketika berkempen.
Menurut Timbalan Setiausaha Akhbar dan Media di Sekretariat Presiden, Yusuf Permana, keputusan itu membuktikan bahawa rakyat menyokong langkah yang telah diambil oleh pemerintah untuk melaksanakan agenda nasional.
“Hasil tinjauan ini mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap langkah pemerintah dalam melaksanakan agenda utama negara,” kata Yusuf dalam satu kenyataan.
Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada populariti tinggi Prabowo ialah program makanan berkhasiat percuma kepada kanak-kanak sekolah dan wanita hamil, yang dilancarkan pada 6 Januari 2025.
Program yang menyasarkan 83 juta penerima menjelang akhir 2025 menjadi simbol utama pentadbiran Prabowo dalam usaha menangani kekurangan khasiat kanak-kanak dan pada masa yang sama merangsang ekonomi tempatan.
Selain program makanan percuma, strategi fiskal pentadbiran Prabowo turut menjadi tumpuan, salah satu adalah keputusan untuk mengehadkan kenaikan cukai nilai tambah (VAT) kepada barangan dan perkhidmatan mewah sahaja.