Tiada siapa berkuasa usir penduduk Gaza

ISTANBUL – Tiada sesiapa pun berkuasa untuk mengusir penduduk Gaza dari tanah air mereka yang musnah akibat peperangan, kata Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Beliau sama sekali menolak rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghalau rakyat Palestin dan meletakkan Gaza di bawah kawalan negara itu.

“Tiada siapa berkuasa untuk mengusir rakyat Gaza dari tanah air mereka yang sudah wujud sejak ribuan tahun lalu.

“Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur adalah hak milik rakyat Palestin,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Istanbul sebelum berlepas ke Malaysia.

Pada masa sama, Erdogan menolak cadangan itu sebagai sesuatu yang tiada nilainya.

“Cadangan mengenai Gaza yang dikemukakan oleh pentadbiran baharu AS di bawah tekanan kepimpinan Zionis langsung tidak berbaloi untuk dibincangkan dari sudut pandangan kami,” katanya.

Sementara itu, dalam satu temu bual bersama televisyen Palestin pada Ahad, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, turut menolak idea pengusiran rakyat Palestin dari Gaza.

“Pemindahan rakyat Palestin adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan sambil menyifatkan Trump tidak memahami sejarah.

Trump sebelum ini berkata beliau akan membangunkan semula wilayah yang musnah akibat perang itu secara luar biasa khususnya dalam aspek ekonomi.

Namun Trump tidak menjelaskan perincian cadangan bagi mengusir penduduk Gaza itu.

Related posts

Leave a Comment