Tersungkur sebelum ke ‘garisan penamat’

NAMA pun ‘Garis Panduan’. Fungsinya sebagai rujukan atau sumber ‘mendapatkan’ nasihat. Ia bukannya Rang Undang-undang (RUU) atau undang-undang yang menjadi dasar sehingga melibatkan seluruh rakyat pelbagai agama mematuhinya.

Apa yang difahami dengan garis panduan? Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat ia bermaksud “panduan atau petunjuk yang perlu diikut, dasar (ciri-ciri utama dsb) yang boleh dijadikan panduan atau pegangan.

Malangnya belum pun garis panduan itu siap, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) pantas memintas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar. Umpama polis buat sekatan pemeriksaan di tengah jalan.

Dr Mohd Na’im bersuara bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memuktamadkan satu garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain pada penghujung Februari ini.

Garis panduan itu merangkumi penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian bukan Islam, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.

Semuanya itu adalah panduan bagi menjaga akidah kerana isu seumpama ini tidak pernah ‘padam’. Sama ada panduan itu diikuti atau tidak, terserah kepada individu. Tetapi sekurang-kurangnya menteri sudah cuba menunaikan tanggungjawab.

DAPSY, sayap DAP yang majoriti anggotanya sudah tentu bukan Islam ‘melompat’ membantah garis panduan itu. DAPSY mahu cadangan itu dibatalkan. Kemudian disusuli pula parti bukan Melayu Islam – MCA dan MIC.

Kata pakar bahasa dan perpaduan, Prof. Emeritus. Teo Kok Seong, penentangan terhadap cadangan itu didorong oleh Islamofobia membabi buta yang wujud pada segelintir masyarakat. Padahal garis panduan itu untuk orang Islam.

Ada juga Melayu Islam yang ‘tumpang semangkuk’ seolah-olah garis panduan itu ‘janggal’ dan mahu mendapat penjelasan menteri.

Menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal Islam dibiarkan bersendirian. Mungkinkah kerana beliau bukan dalam kalangan orang politik, maka dibiarkan begitu sahaja kecuali Pemuda Pas yang bersuara serta merta.

Apakah tidak ada langsung semangat terutama dalam kalangan orang politik Melayu Islam untuk mempertahankan Menteri Agama ini? Satu pengakhiran yang menyedihkan apabila dalam masa yang singkat ‘cadangan’ itu dianggap tidak perlu.

Garis panduan ini tiada kaitan politik. Mungkin hanya terkait politik jika ada dalam kalangan pemimpin politik Melayu Islam ‘terlanjur’ dalam tindakan atau perbuatan yang boleh mencabar akidah ketika hadir pada majlis atau acara orang bukan Islam.

Justeru garis panduan itu penting. Garis panduan itu sudah tersedia dalam pelbagai bentuk dan rupa tetapi berapa ramai yang peduli? Kita ini manusia yang lemah. Kadang-kadang kita boleh berubah menjadi ‘jahil’ untuk menjaga hati orang lain.

Tanpa garis panduan, orang boleh bertindak ikut suka. Contoh di Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul pernah menegur Ahli Parlimen supaya tidak mengungkapkan perkataan-perkataan sensitif seperti kafir, zionis dan yahudi.

Hakikatnya, garis panduan yang dicadangkan itu juga boleh dijadikan rujukan kepada bukan Islam supaya mereka memahami batas sempadan umat Islam untuk menyertai aktiviti antara agama, bagi mengelak kontroversi atau salah faham.

Apabila bukan Islam memahami batas sempadan itu, maka tidak timbul salah faham kenapa seseorang muslim itu tidak melakukan perbuatan atau sesuatu yang pada pandangan mereka tidak menghormati ‘adat atau budaya’.

Jika sudah faham, tidak timbul dakwaan kononnya garis panduan itu secara tidak langsung akan menyekat usaha pemahaman masyarakat yang akan mengakibatkan jurang lebih besar antara masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.

Sekiranya sesuatu acara itu boleh membawa seseorang tergelincir akidahnya, maka tidak perlulah dijemput. Rasanya tidak ada masalah bagi pemimpin berkenaan kecuali penganjur dan pemimpin mempunyai motif lain untuk hadir sesuatu majlis.

Justeru apa masalahnya untuk ada satu garis panduan? Ia sekadar panduan kerana sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, ketelanjuran akibat kealpaan atau kecetekan ilmu agama.

Lihat sahajalah setiap kali awal tahun baharu hijrah, menyambut Rejab, Syaaban, Ramadan dan sebagainya dalam kalendar Islam, pelbagai isu dibahas dalam kalangan masyarakat berkaitan amalan yang wajib, sunat, harus, makruh dilakukan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment