SEPANG 8 Feb. – Garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam seperti dicadangkan dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) tidak boleh diperlekehkan kerana ia hanya suatu bentuk nasihat dan bukan dasar.
Ketua Penerangan Pas Selangor Zurk Ahmad berkata, garis panduan itu penting bagi umat Islam memahami batas sempadan yang tidak boleh dilanggar demi menjaga akidah di samping menghormati agama lain seperti dianjurkan dalam Islam.
“Sejak bila pula urusan umat Islam di Malaysia menjadi ancaman kepada perpaduan dalam negara ini?,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook.
Beliau berkata peranan Jakim tidak boleh direndahkan sekadar ‘penasihat’ , justeru Menteri Agama dan Pemimpin Melayu Islam perlu mempertahankan Jakim.
“Memandangkan fungsi Jakim sebagaimana namanya adalah untuk kemajuan Islam, apakah DAP yang sentiasa mempertikaikan peranan Jakim seolah-olah iri hati atau benci dengan kemajuan Islam di negara ini?
Hari ini kita menyaksikan garis panduan Jakim ditolak. Boleh jadi, sekiranya kita masih leka, lebih banyak agenda besar Islam daripada Jakim akan diabaikan,” katanya.
Justeru, Pas Selangor menyeru kepada seluruh pemimpin Melayu Islam di Malaysia untuk bermuhasabah dalam isu ini.
“Marilah kita memperkasa agenda penyatuan ummah. Kita kuatkan pengaruh dan kedudukan umat Islam dalam ruang demokrasi negara kita agar naratif DAP dan sekutunya tidak lagi mendahului urusan akidah umat Islam di Putrajaya,” katanya.
Nnnn
