Trump kenakan sekatan terhadap ICC

WASHINGTON – Sokongan Amerika Syarikat (AS) terhadap Israel terserlah apabila Donald Trump menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan sekatan terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan ia melancarkan siasatan tidak berasas menyasarkan AS dan sekutunya, Israel.

Rumah Putih dalam kenyataannya berkata, perintah itu menakrifkan bahawa mahkamah di The Hague menyalahgunakan kuasanya dengan mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Ia juga menyebut bahawa tribunal berkenaan turut mengambil tindakan yang tidak sah dan tidak berasas dengan menyasarkan AS serta Israel yang merujuk siasatan ICC terhadap dakwaan jenayah perang oleh anggota tentera AS di Afghanistan dan pasukan keselamatan Israel di Gaza.

Selain itu, Trump turut mengarahkan pembekuan aset serta larangan perjalanan terhadap pegawai, kakitangan dan ahli keluarga mereka yang berkait dengan ICC, termasuk individu yang didapati membantu siasatan mahkamah itu.

Netanyahu sebelum itu mengunjungi Rumah Putih, di mana Trump mengumumkan rancangan AS untuk mengambil alih Gaza dan memindahkan rakyat Palestin ke negara-negara Asia barat lain, khususnya Mesir dan Jordan.

AS dan Israel bukan ahli mahkamah berkenaan mahupun mengiktiraf institusi itu.

ICC mengeluarkan waran tangkap pada 21 November terhadap Netanyahu, bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, dan ketua sayap ketenteraan Hamas, Mohammed Deif – yang menurut Israel sudah meninggal

Waran berkenaan, yang diluluskan selepas permohonan dibuat oleh pendakwa ICC, Karim Khan, pada Mei, adalah berkait tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang yang dilakukan sekurang-kurangnya dari 8 Oktober 2023 hingga 20 Mei 2024.

Semasa penggal pertamanya, Trump mengenakan sekatan kewangan dan larangan visa terhadap pendakwa ICC ketika itu, Fatou Bensouda, serta pegawai kanan dan kakitangan lain pada 2020.

Pentadbirannya menyifatkan ICC sebagai ‘mahkamah kanggaru’ selepas Bensouda, yang berasal dari Gambia, membuka siasatan terhadap dakwaan jenayah perang oleh tentera AS di Afghanistan.

Bekas Presiden AS, Joe Biden, menarik balik sekatan itu sebaik sahaja beliau memegang jawatan pada 2021.

Related posts

Leave a Comment