2.7 juta pekerja asing dalam negara

KUALA LUMPUR 31 Okt. –  Dewan Rakyat hari ini diberitahu setakat 30 September lalu, unjuran jumlah keseluruhan pekerja asing dalam negara adalah lebih 2.7 juta atau 2,730,153 orang.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, jumlah itu merangkumi lebih 1.8 juta pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan lebih 150,000 pekerja asing yang belum memasuki Malaysia.

Menurutnya, jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 pula adalah seramai 747,167 orang.

Beliau memberitahu demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang bertanyakan jumlah pekerja asing dalam negara.

Beliau berkata, penggunaan pekerja asing adalah bagi memenuhi keperluan tenaga kerja bagi sektor-sektor tertentu yang sukar diisi oleh tenaga buruh tempatan.

“Berikutan itu, Kerajaan giat merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif merentasi kementerian dan agensi bagi menggalakkan tenaga kerja tempatan menceburi pekerjaan dalam sektor yang didominasi pekerja asing.

Kata, Kementerian Sumber Manusia menggalakkan industri supaya beralih kepada penggunaan automasi, mekanisasi dan pendigitalan yang dapat mewujudkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi.

Tambah beliau, kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah akan dapat dikurangkan secara berperingkat dengan pelaksanaan automasi, mekanisasi dan pendigitalan.

Dalam pada itu, kerajaan berhasrat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada bekas banduan yang masih produktif untuk bekerja bagi menggantikan tenaga pekerja asing di negara ini.

“Kita boleh menggunakan tenaga mereka (bekas banduan) untuk menggantikan pekerja asing. Banyak usaha diambil Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan ia dilaksanakan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), malah banyak latihan juga diberikan.

“Ramai juga (bekas banduan) diberi peluang pekerjaan. Mereka yang ada dalam penjara diberi latihan dan mereka yang keluar dari penjara selepas menjalani latihan juga sudah ditempatkan di alam pekerjaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin tahu sama ada kerajaan merancang menjadi pemudah cara antara majikan dan pihak penjara untuk mengadakan persefahaman yang membenarkan bekas banduan menggantikan pekerja asing.

Related posts

Leave a Comment