Puspakom Wangsa Maju tutup Jun

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Operasi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Wangsa Maju akan ditutup selewat-lewatnya Jun ini, susulan arahan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memberi laluan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membina fasiliti baharu di tapak berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom , Mahmood Razak Bahman, berkata pihaknya akan membuat pengumuman mengenai perancangan meminda waktu perkhidmatan di beberapa pusat pemeriksaan lain di sekitar ibu kota, Selangor dan Negeri Sembilan bagi menangani kesan penutupan terbabit.

“Kita perlu membuat kajian semula waktu perkhidmatan beberapa cawangan untuk menampung pengurangan slot pemeriksaan ini,” katanya.

Beliau berkata, pelan asal penutupan ini adalah pada Disember 2026 dan penutupan lokasi ini dipersetujui kerana ia merupakan antara cawangan paling sibuk, namun terletak di kawasan berkepadatan tinggi.

“Cawangan ganti yang diluluskan JPJ adalah di Bukit Beruntung, Rawang, dan akan siap pada bulan Disember tahun hadapan.

“Walaupun penutupan lebih awal Puspakom Wangsa Maju menimbulkan masalah baharu, kami akur dan akan cuba menampung dengan menambah waktu operasi beberapa cawangan lain,” katanya.

Cawangan Wangsa Maju memeriksa semua kategori kenderaan termasuk kenderaan berat dan tidak semua cawangan Puspakom mempunyai keupayaan memeriksa kenderaan berat.

Justeru, Mahmood Razak berkata, pihaknya menggesa pelanggan mereka untuk memeriksa kenderaan lebih awal iaitu 14 hari sebelum tarikh tamat permit kenderaan bagi memudahkan mereka sekiranya mereka gagal ujian asal.

“Jika gagal ujian asal pada hari terakhir permit, mereka akan terburu-buru untuk memperbaiki punca kegagalan dan datang untuk pemeriksaan semula.

“Jika pemeriksaan dibuat awal, seperti yang dibenarkan pihak berkuasa, maka pemilik akan mempunyai masa yang lebih untuk membaiki kenderaan mereka dan hadir untuk pemeriksaan semula,” katanya.

Puspakom Wangsa Maju antara cawangan terawal syarikat pemeriksa kenderaan yang dibuka pada 1995 dan mempunyai enam lorong pemeriksaan pada tanah berkeluasan 4.3 ekar dengan kos pembangunan ketika dibuka bernilai lebih RM10 juta.

Nnn

Related posts

Leave a Comment