PUTRAJAYA 7 Feb. – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) akan terus beroperasi walaupun tiga syarikat dilantik untuk menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor (PPKM).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata Puspakom adalah pusat pemeriksaan yang dilesenkan dan orang ramai masih boleh mendapatkan perkhidmatan berkenaan di pusat itu.
“Puspakom masih beroperasi… kita sudah bagi (kelulusan), maksudnya semua cawangan mereka yang sedia ada boleh teruskan (beroperasi).
Cuma, bezanya ialah kita hendak memperkenalkan operator baharu supaya dalam perkhidmatan ini ada pilihan dan persaingan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Pelantikan PPKM, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status PUSPAKOM yang sebelum ini menjadi satu-satunya badan tunggal yang menawarkan perkhidmatan berkenaan sejak 1994.
Tiga syarikat yang dilantik MOT dan JPJ bagi melaksanakan perkhidmatan PPKM Fasa Pertama adalah Wawasan Bintang Sdn. Bhd., Pakatan Petroleum Sdn. Bhd, dan Beriman Gold Sdn. Bhd.
Semalam, Loke ketika menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, memaklumkan bahawa kementeriannya akan mengumumkan penyertaan beberapa syarikat baharu dalam industri pemeriksaan berkala kenderaan motor, hari ini.
Beliau dipetik berkata, langkah berkenaan bakal mewujudkan persaingan lebih sihat dari segi tawaran perkhidmatan, sekali gus meningkatkan mutu dan integriti dalam industri pemeriksaan kenderaan di negara ini.
Loke berkata, Kementerian Pengangkutan telah mendapat kelulusan dari Jemaah Menteri untuk menamatkan dasar konsesi atau dasar monopoli PUSPAKOM pada tahun lalu, dan ia kini tidak lagi memiliki konsesi.
Nnn