Thailand catat 11 kes kuarantin

INDONESIA dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari ini merekodkan 687 kes positif Covid-19 serta 23 lagi kematian menjadikan keseluruhan kes 24,000 dan kematian meningkat kepada 1,496 orang.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19 Achmad Yurianto, berkata, seramai 13,250 pesakit masih dalam pemantauan.

Setakat ini, provinsi Jakarta merekodkan kematian tertinggi iaitu 509 kes, diikuti Jawa Timur (334 kes) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain.

Sementara itu, sebanyak 6,364 kenderaan dari wilayah lain diarahkan berpatah balik dan tidak dibenarkan memasuki Jakarta kerana tidak memiliki Surat Izin Keluar-Masuk daripada polis.

FILIPINA sehingga pukul 4 petang 28 Mei, merekodkan 539 kes baharu positif Covid-19 dengan 17 kematian menjadikan jumlah keseluruhan kes 15,588 dan kematian 921 kes. Jumlah kes menunjukkan peningkatan berbanding 380 semalam.

Jabatan Kesihatan (DOH) melaporkan,  sebanyak 92 kes pulih menjadikan jumlah sembuh keseluruhan sebanyak 3,598. Kes aktif pula 11,069.

BRUNEI DARUSSALAM tidak merekodkan sebarang kes baharu dan jumlah kes kekal 141 dengan dua kematian.

Kementerian Kesihatan memaklumkan 137 kes sembuh manakala dua lagi sedang menerima rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan di mana seorang dalam keadaan kritikal.

Semalam, Brunei melaporkan kematian kedua melibatkan lelaki warga tempatan berusia 56 tahun. Mangsa adalah kes ke-94 dimasukkan ke pusat itu pada 22 Mac dan ICU pada 25 Mac sebelum meninggal dunia pada 27 Mei pukul 7.30 pagi.

SINGAPURA mencatatkan 373 kes baharu dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari ini. Sebahagian besar yang dijangkiti adalah pemegang Permit Kerja yang menginap di asrama. Tiada kes warga Singapura ataupun Penduduk Tetap..

Secara keseluruhannya, 33,249‬ disahkan positif Covid-19 dan 17,267 pulih sepenuhnya manakala 525 masih dirawat, termasuk tujuh di unit rawatan rapi.

Setakat ini 23 pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat komplikasi penyakit tersebut sementara sembilan lagi yang diuji positif Covid-19 meninggal dunia atas sebab-sebab lain. 

THAILAND merekodkan 11 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kes 3,065. Semua kes  itu melibatkan mereka yang dikuarantin selepas pulang dari luar negara. Jumlah kematian kekal 57.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CSSA), memberitahu, salah satu kes melibatkan wanita Thai, 32, yang kembali dari India pada Jumaat lalu. Dia tiada simptom dan dikuarantin di wilayah Samut Prakan.

Enam lagi melibatkan wanita 27 hingga 52 tahun yang pulang dari bekerja di Qatar. Lima adalah tukang urut dan seorang pembantu rumah. Mereka dikuarantin di Bangkok dan disahkan positif Selasa. Empat lagi adalah pekerja binaan berumur 39 hingga 51 tahun yang bekerja di Kuwait.

Daripada 3,065 kes, sebanyak 2,945 (96%) pulih di mana 14 lagi sembuh. Sebanyak 63 lagi sedang dirawat.

Related posts

Leave a Comment