Pertahan hak kedaulatan negara

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan bagi memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara terpelihara, walaupun hanya seketul batu karang di tengah lautan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, kerajaan juga perlu bijak dalam mengekalkan hubungan diplomatik dengan semua pihak dan meningkatkan kerjasama strategik dalam menangani isu serantau serta sempadan negara.

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia perlu menunjukkan keupayaan dalam memimpin dan menentukan hala tuju ASEAN.

Malaysia juga perlu kekal tegas mendukung prinsip keamanan, menentang keganasan dan penindasan.

Peperangan di Gaza perlu segera ditamatkan dan keadilan undang-undang hendaklah dilaksanakan,” titah baginda ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sultan Ibrahim juga mahu semangat kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri diperkukuh.

“Setiap tindakan dan keputusan mestilah dibincang secara sepakat demi masa depan rakyat dan negara,” titah baginda

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seluruh agensi kerajaan atas taat setia dan khidmat dedikasi yang dicurahkan kepada baginda serta negara.

“Marilah kita sama-sama berdoa supaya Malaysia terus maju dan makmur serta seluruh rakyatnya menikmati kehidupan yang sempurna, aman bahagia dan sejahtera,” titah baginda.

Related posts

Leave a Comment