Jangan penting parti, kelompok sendiri

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengutamakan perbahasan demi kepentingan rakyat dan kemakmuran negara serta menghentikan bermain politik atas setiap isu.

Baginda bertitah, Parlimen adalah gelanggang pertemuan suara rakyat jelata, tempat di mana undang-undang digubal, dan medan semak dan imbang atau “check and balance” ke atas pentadbiran negara.

Titah Baginda lagi, Parlimen bukanlah tempat untuk bertegang urat, memaki-hamun atau menabur fitnah.

“Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah menjadi benteng perpaduan negara, dan bukannya agen perpecahan rakyat.

“Justeru itu, hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu, dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja,” titah Baginda lagi, pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas di Parlimen, hari ini.

Baginda menarik perhatian, dalam persidangan dewan pada tahun lalu, ahli-ahli Dewan telah banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan.

“Namun begitu, masih ada juga segelintir ahli yang sukar untuk membuang tabiat lama. tidak perlu saya senaraikan perangai buruk tersebut, kerana saya percaya, setiap ahli sedar dan tahu, bagaimana untuk menjaga tingkah-laku masing-masing.

“Saya juga menghargai peranan yang telah dimainkan oleh semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik, kerana ianya telah menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara,” titah Tuanku lagi.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa bimbang dengan budaya fitnah dan hasutan secara dalam talian dan media sosial, yang menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan serta berpecah-belah.

Justeru titah baginda, kerajaan perlu tegas dalam membendung budaya itu dan bersikap proaktif untuk memberikan maklumat yang betul serta dipercayai.

“Saya ingatkan kepada masyarakat sentiasa berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa jenayah siber, seperti penipuan kewangan secara dalam talian atau ‘scammer’ dan pencurian identiti,” titah baginda.

Nnn

Related posts

Leave a Comment