WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan meneruskan pelaksanaan tarif baharu yang agresif mulai hari ini, ke atas Kanada, Mexico dan China.
Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt, dalam satu taklimat berkata, Trump akan berpegang kepada tarikh akhir 1 Februari yang ditetapkannya melalui satu kenyataan beberapa minggu lalu.
Pengesahan Leavitt mengenai tarif baharu itu menamatkan spekulasi sama ada Presiden akan menunaikan janjinya sebagai calon presiden untuk mengenakan duti baharu tersebut.
Tarif itu akan melibatkan duti sebanyak 25 peratus ke atas Mexico dan Kanada serta tarif 10 peratus ke atas China.
“Ini adalah janji yang dibuat dan janji yang ditepati oleh Presiden,” kata Leavitt yang tidak memberikan butiran tambahan mengenai tarif baharu itu, termasuk sama ada ia akan dikenakan ke atas import minyak atau jika terdapat pengecualian tambahan.
Beliau juga tidak memberikan butiran mengenai cara pelaksanaan tarif tersebut, hanya menyatakan bahawa butiran penuh akan tersedia untuk tatapan umum dalam tempoh 24 jam akan datang.
Dalam masa sama, beliau tidak menyatakan sama ada tarif itu akan dikenakan ke atas import minyak atau jika terdapat pengecualian lain.
Minggu ini Trump menolak idea bahawa pengguna Amerika bergantung kepada import dari dua negara jirannya di Amerika Utara iaitu Kanada dan Mexico.
Trump telah menggunakan dan berjanji untuk menggunakan tarif bagi tiga tujuan utama: meningkatkan pendapatan, mengimbangi perdagangan dan membawa negara pesaing ke meja rundingan.
Presiden Trump turut menegaskan, beliau mahu Kanada dan Mexico menghentikan aliran pendatang tanpa dokumen dan dadah haram ke Amerika Syarikat.
Bagi China pula, Trump berkata, tarif bertujuan untuk memaksa negara itu menunaikan janji yang dibuat kepadanya bahawa kerajaan China akan menghukum mati individu yang didapati menghantar fentanyl ke AS.
