NEW YORK – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengutuk serangan separa tentera ke atas sebuah hospital di El-Fasher,satu-satunya hospital yang berfungsi di bandar terbesar Darfur.
Serangan ke atas hospital yang terletak di wilayah Darfur barat Sudan, itu mengorbankan 70 orang.
Menurut Stephane Dujarric, jurucakap Guterres, serangan itu berlaku selepas perang selama lebih 21 bulan dan menyebabkan kebanyakan sistem penjagaan kesihatan Sudan rosak.
“Guterres mengulangi bahawa, di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, mereka yang cedera dan sakit, serta kakitangan perubatan dan kemudahan perubatan, mesti dihormati dan dilindungi pada setiap masa,” katanya.
Sejak April 2023, Sudan dilanda perang antara ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan dan bekas timbalannya, pemimpin RSF Mohamed Hamdan Daglo.
Pasukan separa tentera RSF menawan setiap ibu negeri di wilayah barat Darfur yang luas kecuali El-Fasher, yang dikepung sejak Mei lalu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom, berkata serangan hospital pada Jumaat lalu menyebabkan 70 orang maut dan 19 cedera.
Perang di Sudan setakat ini sudah mengorbankan puluhan ribu orang, memaksa lebih 12 juta meninggalkan kediaman mereka dan mengancam jutaan lagi di seluruh negara dengan kebuluran besar.
Di kawasan sekitar El-Fasher, kebuluran melanda di tiga kem pelarian iaitu Zamzam, Abu Shouk dan Al-Salam dan dijangka akan merebak ke lima kawasan lagi termasuk bandar itu sendiri menjelang Mei, menurut penilaian yang disokong oleh PBB.
Nnn