Palestin tolak pemindahan rakyat Gaza

GAZA – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan kumpulan Hamas menegaskan pendirian untuk menentang sebarang cadangan pemindahan rakyat Palestin secara paksa dari Gaza seperti dirancang Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Pejabat Presiden Palestin menyatakan Abbas dengan tegas menyatakan rakyat Palestin tidak akan meninggalkan tanah dan tempat suci mereka dan mengecam sebarang projek yang bertujuan memindahkan rakyat Palestin di Gaza.

Anggota Biro Politik Hamas, Bassem Naim, berkata rakyat Palestin akan menggagalkan projek sedemikian, seperti mana mereka menggagalkan rancangan serupa untuk pemindahan dan penciptaan tanah air alternatif sejak beberapa dekad lalu.

Jihad Islam, yang turut bertempur bersama Hamas di Gaza, menyifatkan idea tersebut sebagai menjijikkan.

Ketika bercakap dengan wartawan dalam pesawat Air Force One Sabtu lalu, Presiden AS mengesyorkan penduduk Palestin di Gaza dipindahkan ke Jordan atau Mesir bagi ‘membersihkan’ wilayah yang musnah akibat perang.

Bagi rakyat Palestin, sebarang usaha pemindahan dari Gaza akan mengingatkan tragedi hitam yang dikenali dalam dunia Arab sebagai ‘Nakba’ atau malapetaka. Ia membabitkan perpindahan besar-besaran rakyat Palestin ketika pembentukan Israel pada tahun 1948.

Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich yang sebelum ini menentang perjanjian gencatan senjata dan menyokong penubuhan semula penempatan Israel di Gaza menyifatkan cadangan tersebut sebagai idea yang hebat.

Liga Arab turut menolak idea berkenaan dan memberi amaran terhadap cubaan mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka.

“Pemindahan dan pengusiran rakyat dari tanah mereka secara paksa hanya boleh dianggap sebagai pembersihan etnik,” kata liga itu dalam satu kenyataan.

Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi, menegaskan penolakan terhadap pemindahan rakyat Palestin adalah tegas dan tidak akan berubah.

“Jordan untuk rakyat Jordan dan Palestin untuk rakyat Palestin,” katanya.

Kementerian Luar Mesir turut menegaskan penolakan mereka terhadap sebarang pencabulan hak asasi rakyat Palestin.

Hampir kesemua 2.4 juta penduduk Gaza terpaksa berpindah randah akibat perang yang tercetus pada 7 Oktober 2023, malah ramai antara mereka terpaksa berpindah beberapa kali.

Nnn

Related posts

Leave a Comment