Ugutan, pempengaruh media sosial ditahan

CHUKAI 26 Jan. – Seorang lelaki, pempengaruh media sosial berusia 36 tahun ditahan polis, hari ini bagi siasatan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan dan mendatangkan kegusaran awam berhubung kes pukul membabitkan OKU.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, suspek ditahan di sebuah hotel di Segamat, Johor pada 6.55 pagi tadi susulan laporan diterima Khamis lalu.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, suspek kemudian dibawa ke mahkamah dan polis mendapat perintah reman sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Selain itu, suspek juga akan disiasat mengikut seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Terdahulu , media melaporkan lelaki OKU mental dipukul di hadapan orang ramai di pasar pagi Jalan Padang Astaka, Chukai, di sini, dipercayai akibat motosikal yang ditunggang memasuki tapak jualan dan terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh.

Insiden itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi, manakala polis turut menahan beberapa individu bagi siasatan lanjut.

Sementara itu, lelaki OKU itu Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, kini dalam stabil dan masih dalam pemerhatian petugas perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Terengganu  Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, setakat ini, laporan perubatan lelaki terbabit masih belum siap.

“Sehingga semalam, saya berhubung dengan pihak hospital, masih lagi belum ada satu tarikh yang tertentu untuk selesaikan laporan perubatan mangsa.

Dia (mangsa) masih ada di wad dan masih di bawah pemerhatian pihak hospital (dan) saya difahamkan keadaannya stabil,” katanya ketuka ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2025 di sebuah pusat beli belah di Kuala Terengganu hari ini.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasatan berhubung kes pukul membabitkan OKU itu dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara Khamis lalu.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment