
RAMALLAH – Kerajaan Palestin mengutuk keputusan Donald Trump membatalkan sekatan yang dikenakan terhadap peneroka haram Israel yang didakwa melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki.
Pada hari pertama beliau memegang jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu,,
Trump menandatangani perintah eksekutif yang menarik balik sekatan yang dikenakan oleh presiden sebelumnya, Joe Biden, pada tahun lalu.
Jurucakap pihak berkuasa Palestin yang berpusat di Ramallah, Nabil Abu Rudeineh, dalam satu kenyataan, semalam berkata, keputusan ini menggalakkan peneroka untuk melakukan lebih banyak jenayah.
Beliau meminta pentadbiran AS yang baharu untuk “campur tangan bagi menghentikan jenayah ini dan dasar-dasar Israel yang tidak akan membawa keamanan dan keselamatan kepada sesiapa pun.”
Dalam pada itu, Kementerian Luar Palestin turut mengecam langkah AS itu dengan menyifatkan langkah menghapuskan sekatan terhadap peneroka ekstremis menggalakkan mereka bagi melakukan lebih banyak jenayah terhadap rakyat.
“Kami terus berusaha untuk menghentikan keganasan peneroka dan menghapuskan sekatan-sekatan berkenaan,” katanya.
Keputusan Trump itu adalah pembalikan terhadap tindakan dasar yang diambil oleh Biden, yang mengenakan sekatan terhadap beberapa kumpulan peneroka Israel dan individu-individu, membekukan aset mereka di AS dan melarang rakyat AS berurusan dengan mereka.
Isnin lalu, peneroka haram Israel melancarkan serangan terhadap kampung Palestin Al-Funduq dan Jinsafut di Tebing Barat yang diduduki, membakar rumah, kedai, dan kenderaan.
Nnnn