Tambah baik pelantikan anggota JAC

KUALA LUMPUR 30 Nov. – Pelantikan lima daripada sembilan ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak sepatutnya dilakukan oleh Perdana Menteri sebaliknya diserahkan kepada beberapa institusi lain.

Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260,Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang mencadangkan demikian bertitah, pelantikan boleh dibuat oleh Majlis Peguam, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

“Dengan kaedah sebegini, keanggotaan JAC akan lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak,” titah baginda dalam kenyataan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-260 di Istana Negara, yang berakhir hari ini.

Pada masa ini, JAC mempunyai sembilan anggota iaitu empat ahli JAC adalah hakim yang sedang memegang jawatan terkanan manakala lima lagi ahlinya dilantik Perdana Menteri.

Tuanku Muhriz bertitah dari segi Badan Kehakiman, Majlis Raja-Raja bertanggungjawab dalam melantik hakim-hakim di Malaysia.

Menurut Tuanku Muhriz, proses pelantikan hakim di Malaysia pada masa ini mempunyai kelemahan dan boleh diperbaiki.

“JAC memainkan peranan utama dalam mengemuka cadangan pelantikan hakim. Oleh itu, keanggotaan JAC adalah kritikal untuk memastikan JAC terus berkemampuan mengemukakan nama-nama hakim yang berintegriti dan berkaliber” titah baginda.

.Baginda turut mencadangkan supaya struktur JAC dinilai semula dengan rundingan dibuat antara kerajaan, ahli-ahli JAC sedia ada dan badan-badan guaman yang berkenaan serta institusi-institusi lain yang relevan.

“Sekiranya semua ini dilaksanakan, Beta yakin JAC akan mampu menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan dan menjadikan pemilihan serta pelantikan hakim-hakim di Malaysia adalah dalam kalangan individu yang berkeperibadian mulia, telus dan adil,” titah baginda.

Tuanku Muhriz mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-26 yang bermula semalam.

(Foto FB Selangor Royale Office)

Related posts

Leave a Comment