WCE dibuka sepenuhnya

KUALA LUMPUR 21 Jan. – Jajaran Seksyen 2 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang dibuka kepada umum mulai tengah malam ini bakal melengkapkan Pelabuhan Klang sebagai hab logistik terbesar di Asia Tenggara.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata laluan sepanjang 7.2 kilometer berkenaan dapat mengelakkan kesesakan jalan raya berbanding laluan sedia ada terutama pada waktu puncak.

Ia menyediakan laluan alternatif lebih mudah dari Banting ke Shah Alam, Klang, Putrajaya, Kajang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sebaliknya dengan sambungan terus ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS

“Dengan jaringan perhubungan lebuh raya yang lebih baik itu dilihat mampu merangsang sektor industri dan komersial di kawasan terbabit dengan menarik pelaburan ke kawasan perindustrian termasuk di Pulau Indah, Telok Panglima Garang dan Bandar Botanik, Klang.

“Ia secara tidak langsung memberi manfaat bukan sahaja kepada pengguna jalan raya, tetapi penduduk setempat dan aktiviti ekonomi di sekitar kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga mengumumkan pengguna yang memasuki Lebuhraya WCE dari Plaza Tol SAE ke Persimpangan Bertingkat SKVE (WCE) dan sebaliknya (di kedua-dua arah), akan menikmati tol percuma selama satu bulan bermula tengah malam ini.

Pembukaan jajaran ini merupakan sebahagian daripada Lebuhraya WCE

sepanjang 314.5 kilometer yang akan menghubungkan Banting di Selangor hingga ke Taiping di Perak.

Dengan siapnya lebuh raya ini, WCE akan menjadi antara pemangkin utama dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi, khususnya di sepanjang koridor barat Semenanjung Malaysia, meningkatkan aktiviti pelancongan domestik di samping di harap akan mengurangkan kesesakan di lebuh raya utama jajaran lembah kelang ke utara semenanjung.

Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap WCE membuat promosi laluan alternatif ini agar pengguna maklum untuk menggunakannya bagi menyuraikan masalah kesesakan di lebuh raya.

KKR juga menganjurkan kepada pengguna lebuh raya untuk memanfaatkan kemudahan lebuh raya ini dengan sebaiknya di samping mematuhi peraturan jalan raya dan memastikan keselamatan diri, keluarga serta pengguna lain sentiasa terpelihara semasa memandu terutama menjelang perayaan Tahun Baru Cina.

 

(foto KKR)

Related posts

Leave a Comment