Mokhzani, Mirzan miliki harta RM1.2 bilion

PUTRAJAYA 21 Jan. – Dua anak bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad memiliki harta bernilai lebih RM1.2 bilion, berdasarkan pengisytiharan harta yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, berdasarkan pengisytiharan harta yang dikemukakan kepadanya, Mokhzani memiliki aset bernilai kira-kira RM1 bilion manakala Mirzan sebanyak RM246.2 juta.

Katanya, pengisytiharan harta itu antaranya membabitkan pegangan aset dan saham.

“Kedua-dua mereka mematuhi permintaan saya dan juga keputusan penyiasat untuk mengisytiharkan harta yang mereka miliki termasuk juga pegangan aset, saham dan sebagainya.

Jadi saya berpuas hati dengan pengisytiharan harta berkenaan oleh kedua-duanya,” katanya pada sidang media, hari ini.

Azam berkata, melalui pengisytiharan itu, jumlah aset keseluruhan Mokhzani bernilai kira-kira RM1 bilion dengan ‘personal value’ (aset peribadi) RM360 juta manakala aset Mirzan adalah RM246.2 juta dengan ‘personal value’ sebanyak RM120 juta.

“Ada berbentuk aset, ada juga dalam pegangan saham dan sebagainya yang kita ambil kira serta menolak liabiliti yang mereka tanggung.

Jadi, persepsi ini saya kena betulkan kerana kadang-kadang kami dihujani dengan pelbagai soalan mengatakan adakah betul mengenai pemilikan harta (mereka),” katanya.

Azam menegaskan semua data berkenaan adalah daripada pegawai forensik SPRM serta beberapa penilaian terhadap jumlah aset yang diisytiharkan oleh mereka.

“Ini adalah mengenai pengisytiharan harta, namun siasatan membabitkan kedua-dua mereka masih diteruskan,” katanya.

Sebelum ini, SPRM memanggil kedua-dua anak kepada bekas Perdana Menteri terbabit bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM sudah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora, juga Kertas Panama.

Dalam pada itu, Azam berkata, SPRM masih menjalankan siasatan membabitkan Allahyarham Daim Zainuddin dan isteri, Naimah Abdul Khalid termasuk daripada aspek mengesan asetnya di luar negara.

Siasatan itu berdasarkan petunjuk ada aset luar negara perlu dikesan berhubung kes berkenaan.

Katanya , hasil kerjasama dengan beberapa pihak daripada luar negara,  indikatornya itu menunjukkan ada aset di luar negara yang perlu dikesan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment