KLANG 21 Jan. – Kabinet sudah memutuskan tiada lagi pemberian tol percuma sempena musim perayaan sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi bagaimanapun berkata kerajaan akan menggantikan tol percuma itu dengan pendekatan yang lebih bersasar.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan pendekatan bersasar itu tetapi akan diumumkan dalam masa terdekat.
Katanya,Kabinet pada tahun lalu memutuskan tahun 2024 adalah tahun terakhir pemberian tol percuma pada musim perayaan.
“Ikut keputusan itu tiada (pemberian tol percuma) tetapi kalau ada, mungkin pertimbangan lain, …akan dibincangkan.
“(Keputusan ini kerana) …kerajaan hendak selaraskan dengan subsidi yang lebih bersasar. Perincian akan dimaklumkan kemudian,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pembukaan Seksyen 2, WCE dari Persimpangan Bertingkat SKVE ke Persimpangan Bertingkat SAE, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan memaklumkan syarikat konsesi tidak menanggung sebarang implikasi kewangan berikutan pengecualian tol pada musim perayaan kerana kos pemberian tol percuma dibayar oleh kerajaan.
Secara puratanya, kerajaan membayar kira-kira RM20 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya menerusi pelaksanaan tol percuma.
Pada tahun lalu saja, kerajaan membayar RM80.07 juta sempena Aidilfitri, Deepavali RM42.31 juta; Tahun Baru Cina (RM41.21 juta) dan RM38 juta pada Krismas.
Pemberian tol percuma pada Krismas lalu adalah yang terakhir sempena musim perayaan yang diberikan kerajaan.