Polis Johor tahan pasangan pengendali umrah

JOHOR BAHRU 20 Jan. – Suami isteri yang juga pemilik syarikat pengendali umrah Hejira Travel & Tour Holding Sdn. Bhd. ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan pakej umrah yang dilaporkan di negeri ini, kata Ketua Polis Johor, M Kumar.

Dalam satu kenyataan media, beliau berkata pasangan berusia 32 tahun itu ditahan kelmarin (18 Januari) selepas mereka dibebaskan dengan jaminan oleh Polis Kontinjen Selangor sebaik tamat tempoh reman.

“Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan kes penipuan pakej umrah yang dilaporkan di kontinjen ini. Setakat ini, sembilan laporan polis diterima yang membabitkan kerugian berjumlah RM174,080,” katanya..

Kumar berkata, pasangan itu disiasat kerana menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan terhadap mereka dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi nasihat selanjutnya,” katanya.

Kumar juga menasihati orang ramai supaya membuat semakan dengan agensi berkaitan sebelum menggunakan mana-mana syarikat pengendali umrah bagi memastikan syarikat berkenaan dilesenkan dan mempunyai rekod pengendalian yang baik.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pemilik syarikat agensi umrah itu dan isterinya akan ditahan semula berkaitan satu lagi kes penipuan yang dilaporkan di Johor selepas reman lelaki itu tamat.

Katanya, enam lagi tangkapan yang dibuat sebelum ini turut diberi jaminan polis selepas tempoh reman tamat.

Setakat ini, sebanyak 42 laporan polis diterima membabitkan 28 daripadanya dibuat oleh mangsa, 13 laporan lagi oleh ejen dan kakitangan serta satu oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Sebelum ini media melaporkan lapan individu termasuk pasangan suami isteri yang juga pemilik sebuah syarikat pengendali umrah berusia antara 24 hingga 46 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan kerugian RM2.1 juta.

Penahanan itu dibuat selepas polis menerima tujuh laporan awal mengenai penipuan pakej umrah yang diiklankan melalui aplikasi TikTok dan ejen syarikat.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment