PUTRAJAYA 19 Jan. – Ketua Polis Negara, Razarudin Husain diminta bertemu dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi menerangkan mengenai langkah pemeriksaan telefon bimbit oleh polis.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata pertemuan itu bagi membolehkan Suhakam mengetahui bidang atau skop tugasan yang membolehkan polis membuat pemeriksaan itu.
“Biar ada pertukaran pandangan bagi perspektif yang lebih tepat bagaimana penguatkuasa undang-undang terbesar di negara melaksanakan langkah itu.
Kita tangani isu ini dan Suhakam juga akan faham dalam konteks tugasan polis. Biar berlaku adil. Suhakam pula tangani isu dari sudut pandang hak asasi dan mempelawa masyarakat (buat laporan) jika ada pelanggaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persediaan menjelang Sidang Kemuncak Pencegahan Jenayah Siber dan Ekspo (AISSE’25), di sini hari ini.
Suhakam dalam kenyataannya menegaskan pihak polis tidak boleh sewenang-wenangnya memeriksa telefon bimbit ketika sekatan jalan raya kerana ia dianggap melanggar hak asasi manusia.
Razarudin sebelum ini menegaskan polis mempunyai kuasa untuk memeriksa telefon bimbit seseorang berdasarkan syak wasangka yang munasabah.
Saifuddin menjelaskan, langkah pemeriksaan telefon bimbit berkenaan bukan dilaksanakan sewenang-wenangnya sebaliknya berdasarkan tatacara dan undang-undang yang memberikan polis locus standi, contohnya jika individu yang ditahan disyaki terbabit dalam kegiatan keganasan.
“Jika berlaku umpamanya orang awam dalam perjalanan, tiba-tiba terus dipanggil (untuk diperiksa telefon). Sudah tentu kita kena tangani isu begitu.
“Sebab itu saya kata, perbincangan ini, biar jangan terkeluar daripada tujuan sebenar. Biar polis jangan dilihat sebagai pasukan yang tidak peduli langsung soal peruntukan undang-undang.
“Kita tidak bertindak begitu. Bila satu keputusan dibuat untuk melakukan pemeriksaan, mesti ada asas untuk itu,” katanya.
Nnn
