Ada unsur penipuan kes jemaah kandas

SHAH ALAM 19 Jan. – Polis mengesan terdapat unsur penipuan berhubung kes sebuah syarikat yang didakwa melakukan penipuan pakej umrah membabitkan kerugian RM2.1 juta, kata Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan.

Katanya, unsur penipuan itu adalah dari segi proses permohonan visa, tempahan penerbangan, penginapan di Arab Saudi dan sebagainya yang tidak dibuat melalui proses yang betul seperti kebiasaan dilakukan pengusaha syarikat seperti ini.

Pada masa yang sama, siasatan juga mendapati pemilik syarikat terbabit mempunyai rekod lampau membabitkan kes penipuan berkaitan pelaburan di Johor tahun lepas, yang masih dalam siasatan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media kejayaan tangkapan dan rampasan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Hussein berkata pasangan suami isteri yang merupakan pemilik syarikat itu kini diserahkan kepada polis Johor untuk siasatan lanjut, manakala enam lagi yang direman diberikan jaminan polis.

Sebelum ini Hussein dilaporkan berkata lapan individu berkenaan direman selama tiga hari berkaitan dakwaan kes penipuan pakej umrah.

Beliau berkata setakat ini polis menerima 42 laporan membabitkan mangsa, ejen dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dan pihaknya sedang memanggil saksi-saksi serta mangsa untuk membantu melengkapkan siasatan.

Pada Rabu lalu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor menjalankan pemeriksaan di pejabat syarikat pelancongan berkenaan di Sepang sebelum pengarah urusan syarikat terbabit mengadakan sidang media di ibu negara dan kemudiannya ditahan.

Penahanan itu bagi membantu siasatan  susulan kegagalan syarikat itu menerbangkan lebih 300 jemaah umrah ke Tanah Suci.

Related posts

Leave a Comment