BAITULMAQDIS – Kabinet Israel meluluskan perjanjian dengan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, untuk gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Semenanjung Gaza, selepas lebih enam jam bermesyuarat.
Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, mengumumkan perkara itu sehari sebelum perjanjian itu dijadualkan bermula.
Kerajaan meluluskan perjanjian itu yang berpotensi membuka jalan untuk mengakhiri perang yang kini sudah berlangsung selama 15 bulan di wilayah Palestin yang dikuasai Hamas.
“Kerajaan sudah meluluskan rangka kerja untuk pemulangan tebusan. Rangka kerja bagi pembebasan tebusan akan berkuatkuasa pada hari Ahad,” kata pejabat Netanyahu dalam satu kenyataan ringkas.
Dalam pada itu, di Gaza, pesawat perang Israel terus melancarkan serangan berat sejak perjanjian gencatan senjata dipersetujui.
Petugas perubatan di Gaza berkata serangan udara Israel pada hari ini membunuh lima orang di dalam sebuah khemah di kawasan Mawasi, barat Khan Younis di selatan kawasan itu.
Jumlah korban rakyat Palestin akibat serangan bom Israel sejak perjanjian diumumkan pada Rabu lalu kini meningkat kepada 119 orang.
Rumah Putih menjangkakan gencatan senjata akan bermula pada pagi Ahad, dengan tiga tebusan wanita akan dibebaskan ke Israel pada petang Ahad melalui Palang Merah.
Mengikut perjanjian itu, gencatan senjata tiga peringkat dimulakan dengan fasa enam minggu pertama di mana tebusan yang ditahan oleh Hamas akan ditukar dengan tahanan yang ditahan oleh Israel.
Sebanyak 33 daripada 98 tebusan Israel yang masih tinggal, termasuk wanita, kanak-kanak dan lelaki berusia lebih 50 tahun, dijadualkan dibebaskan dalam fasa pertama ini.
Israel akan membebaskan semua wanita dan kanak-kanak Palestin di bawah umur 19 tahun yang berada di penjara Israel menjelang akhir fasa pertama.
Selepas pembebasan tebusan pada Ahad, perjanjian itu menetapkan empat lagi tebusan wanita akan dibebaskan selepas tujuh hari, diikuti dengan pembebasan tiga lagi tebusan setiap tujuh hari selepas itu.
Nnn
