Nyawa rakyat keutamaan Selangor

SHAH ALAM 19 Mei – Menteri Besar, Amirudin Shari hari ini tampil memberi penjelasan berhubung kekeliruan berkenaan laporan kononnya Selangor enggan melaksanakan ‘lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat.

Katanya, apa yang dinyatakan oleh Pengerusi Selangor Task Force Covid-19, Dr Dzulkefly Ahmad bukanlah suatu ketetapan kerana ia masih di peringkat perbincangan.

“Jadi saya kira saya perlu menjernihkan isu tentang kemungkinan kita menolak atau tidak setuju (PKP yang lebih ketat), sebab perkara ini masih di peringkat berbincangan.

“Sekali lagi, kuasa pengumuman serta langkah-langkah PKP dan sebagainya masih tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan di mana kerajaan negeri turut dipanggil untuk memberi pandangan secara menyeluruh,” katanya dalam sidang media pada Rabu.

Tegas beliau, nyawa rakyat kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri itu, pada masa sama mengimbangi kehidupan rakyat serta ekonomi.

Bagaimanapun, Amirudin berkata sebarang tindakan yang dilakukan perlu disusuli dengan langkah-langkah susulan yang berkesan.

Ia seperti vaksinasi yang menyeluruh, proses ujian (swab) yang lebih besar dan pantas dan beberapa sokongan kepada masyarakat termasuk aktiviti pembelajaran dan bantuan kepada mereka yang memerlukan serta mengharapkan sokongan.

“Ini supaya kita boleh memutuskan satu kedudukan yang menang-menang kepada semua pihak, sama ada dari sudut kesihatan awam, kelangsungan kehidupan dan kedudukan ekonomi Selangor,” katanya

Jelas beliau, pelan hala tuju keluar (exit plan) untuk memastikan kelancaran pelaksanaan PKP amat penting bagi memastikan apa yang dilaksanakan tidak sia-sia.

“Lockdown nampak seperti mudah, tetapi selepas dua minggu, rintihan akan menyeluruh. Kita pernah alaminya pada Mac hingga Julai tahun 2020, kita perlu belajar daripada pengalaman tersebut,” katanya.

Amirudin turut mengharapkan supaya sebarang prosedur operasi standard (SOP) yang diumum dan dilaksanakan, tidak berubah-ubah yang akhirnya memberi kekeliruan kepada penguat kuasa serta masyarakat.

Dr Dzulkefly dalam satu sidang media sebelum itu memaklumkan PKP tidak perlu dilaksanakan berikutan kadar kebolehjangkitan di Selangor masih rendah berbanding negeri lain seperti Kelantan dan Pahang.

Katanya, pasukannya dan kerajaan Selangor berada dalam tahap baik menguruskan wabak berkenaan.

Malah, katanya, pelaksanaan PKP secara menyeluruh juga akan menjejaskan ekonomi negeri terutamanya peniaga kecil.

Related posts

Leave a Comment