AS kekal larang TikTok

WASHINGTON – Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) sebulat suara mengekalkan undang-undang yang melarang penggunaan TikTok yang mempunyai 170 juta penggunanya di AS atas alasan keselamatan negara.

Keputusan itu meletakkan platform media sosial itu dalam keadaan tidak menentu dan nasibnya kini bergantung kepada Donald Trump, yang berikrar akan menyelamatkan TikTok selepas kembali memegang jawatan Presiden AS pada Isnin.

Undang-undang itu diluluskan dengan majoriti bipartisan besar di Kongres tahun lalu dan ditandatangani Presiden Joe Biden, walaupun semakin ramai ahli perundangan yang sebelum ini menyokongnya kini mahu TikTok terus beroperasi di AS.

Susulan itu, jika syarikat induknya dari China, ByteDance, tidak menjual aplikasi berkenaan, aplikasi itu berisiko dihentikan dalam tempoh dua hari sahaja.

TikTok, ByteDance dan beberapa pengguna aplikasi itu mencabar undang-undang berkenaan di mahkamah, namun Mahkamah Agung memutuskan bahawa ia tidak melanggar perlindungan Pindaan Pertama Perlembagaan AS terhadap sekatan kebebasan bersuara oleh kerajaan seperti yang didakwa pihak berkenaan.

Setakat ini, ByteDance tidak mengambil langkah untuk melepaskan pemilikan TikTok menjelang tarikh akhir pada Ahad seperti yang ditetapkan undang-undang.

Bagaimanapun, Trump yang pernah cuba melarang TikTok pada 2020 menyatakan rancangannya untuk mengambil tindakan bagi menyelamatkan aplikasi berkenaan.

“Keputusan saya mengenai TikTok akan dibuat dalam masa terdekat, tetapi saya memerlukan masa untuk mengkaji situasi ini. Teruskan mengikuti perkembangan!” kata Trump dalam satu hantaran di media sosial.

CEO TikTok, Shou Zi Chew, dijadual menghadiri majlis perasmian penggal kedua Trump pada Isnin di Washington.

Dalam satu kenyataan, Chew mengucapkan terima kasih kepada Presiden Trump atas komitmennya untuk bekerjasama mencari penyelesaian dalam memastikan TikTok kekal tersedia di AS.

Chew juga mengulangi tuntutan syarikat itu mengenai kebebasan bersuara manakala Trump pula berkata beliau dan Presiden China, Xi Jinping, sudah membincangkan isu TikTok dalam satu panggilan telefon pada hari Jumaat.

Nnn

Related posts

Leave a Comment