Jemaah umrah kandas, lapan direman

SEPANG 16 Jan. – Mahkamah Majistret di sini membenarkan sepasang suami isteri yang juga pemilik sebuah agensi pelancongan direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penipuan umrah membabitkan kerugian RM2.1 juta.

Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan membenarkan tempoh reman terhadap pasangan itu selama tiga hari sehingga Sabtu.

Selain pasangan berkenaan, enam pekerja syarikat agensi pelancongan tersebut termasuk seorang wanita turut direman selama tiga hari.

Semalam, pasangan berusia 31 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kira-kira pukul 7 petang, selepas mengadakan sidang media bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata penahanan itu melibatkan enam lelaki dan dua wanita berusia antara 25 hingga 46 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sebanyak lapan laporan polis telah diterima membabitkan 379 mangsa manakala premis syarikat terbabit ditutup sementara untuk siasatan lanjut.

Semalam, sepasukan polis dari JSJK Selangor menjalankan pemeriksaan di pejabat syarikat pelancongan berkenaan di Sepang, Selangor.

Related posts

Leave a Comment