SHAH ALAM 15 Jan. – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, (JSJK) Selangor menahan pasangan suami isteri berusia 31 tahun, yang juga pemilik syarikat Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd. kira-kira pukul 7 petang ini.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan dalam kenyataan medianya memberitahu, pasangan itu ditahan di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes jemaah yang terkandas untuk mengerjakan umrah.
“Polis telah merampas beberapa komputer, pasport dan dokumen berkaitan bagi membantu siasatan. Kedua-dua mereka akan direman esok untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, JSJK pada Selasa telah menerima laporan berkaitan kes ini daripada seorang wanita tempatan berusia 39 tahun, pekerja syarikat swasta yang mengalami kerugian RM11,000 terkandas untuk mengerjakan umrah.
Menurutnya, terkini sebanyak tujuh laporan polis diterima melibatkan kerugian RM100,000 di Selangor.
Bagaimanapun semakan mendapati seramai 379 mangsa yang telah berurusan dengan syarikat berkenaan terkandas untuk mengerjakan umrah pada 14 Januari 2025 yang melibatkan anggaran kerugian sebanyak RM2.1 juta.
“Siasatan awal mendapati syarikat ini mula menjalankan perniagaan sejak tahun 2022, namun berpindah ke premis tiga tingkat di Sepang sejak Oktober tahun lalu.
“Modus operandi yang digunakan dipercayai memperdayakan mangsa melalui iklan di aplikasi TikTok tentang pakej umrah dan berhubung dengan ejen yang dilantik oleh pihak syarikat,” ujarnya.
Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan pakej umrah yang ditawarkan terutama di media sosial.
“Sebarang pengesahan lanjut kesahihan syarikat yang menjalankan pakej umrah boleh membuat semakan dengan pihak Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya,” katanya.
