KUALA LUMPUR 15 Jan. – Pengarah Urusan Syarikat Umrah Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd, Mohd Syahril Alias tampil memohon maaf kepada lebih 300 jemaah umrah yang terkandas susulan kegagalan pihaknya menyediakan penerbangan ke Tanah Suci.
“Saya sangat berterima kepada yang memilih Hejira Travel dan saya sangat sangat memohon maaf dan berharap tuan puan dapat menunaikan ibadah umrah selepas ini walaupun bukan dengan kami (Hejira),” katanya.
Beliau pada masa yang sama menawarkan pilihan sama ada mahu meneruskan umrah dengan penjadualan semula tarikh penerbangan, mengembalikan semula pembayaran dan pemberian RM5,000 sebagai kos bayaran penginapan jemaah sepanjang tempoh terkandas ini.
Bagaimanapun keadaan menjadi kecoh apabila jemaah berkenaan mempertikaikan tempoh pembayaran semula yang mengambil masa sehingg tiga minggu sedangkan sebahagian besar daripada mereka mahu bayaran itu dilunaskan segera.
Malahan ada jemaah yang mahu Hejira Travel mencairkan aset syarikat untuk menjelaskan pembayaran berkenaan dan ada juga yang mahu melihat akaun syarikat mengenai kedudukan kewangan.
Terdahulu dalam sidang media dan pertemuan di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), beliau menjelaskan antara faktor pembatalan adalah masalah penginapan di Tanah Suci.
Beliau yang ditemani peguam bagaimanapun tidak sempat menjawab pelbagai soalan lain termasuk berkaitan visa dan tiket penerbangan selepas jemaah bersetuju untuk mendengar formula penyelesaian yang dicadangkan.
Syarikat akan membuat surat aku janji (letter of undertaking) yang mengatakan sedia membuat pembayaran seratus peratus.
“Ia akan dibuat kepada jemaah dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas jemaah bersetuju menandatangi surat aku janji tersebut,” katanya pada sidang media yang turut digadiri Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim.
Sebelum ini, kira-kira lebih 300 jemaah umrah terkandas apabila mereka dijanjikan untuk diterbangkan ke tanah suci namun ditunda syarikat pengendali umrah.