Amaran gelombang kes baharu di Jepun

TOKYO: Kerajaan Jepun hari ini mengeluarkan amaran gelombang kes baharu Covid-19 yang berjangkit pantas dengan menggesa orang ramai lebih berjaga-jaga menjelang cuti hujung minggu serta cuti musim panas persekolahan tidak lama lagi.

Tokyo, menaikkan tahap amarannya kepada peringkat tertinggi, dengan pakar mengatakan jangkitan sedang meningkat cepat terutama varian BA.5 yang menyumbangkan lebih separuh daripada jumlah jangkitan.

Semalam, Tokyo merekodkan 16,878 kes baharu iaitu jumlah tertinggi di bandar raya itu sejak Februari, dengan keseluruhan jangkitan di Jepun meningkat melebihi 90,000 kes, rekod baharu lonjakan jangkitan sejak dari awal tahun.

“Kita sedang mengalami penularan jangkitan yang sangat pantas,” kata Ketua Setiausaha Kabinet, Hirokazu Matsuno, pada sidang media.

Katanya, jumlah kes baharu nasional sebanyak 94,466 yang direkodkan kelmarin menyaksikan bilangan pesakit yang baru dijangkiti meningkat lebih dua kali ganda berbanding minggu lalu.

Bagaimanapun, katanya, kadar penggunaan katil hospital adalah rendah, begitu juga dengan kes serius dan jumlah kematian.

Menteri Kesihatan, Shigeyuki Goto, yang mempengerusikan mesyuarat panel untuk memerangi virus, menjelaskan bilangan kes baharu menunjukkan peningkatan di semua wilayah.

“Mungkin terdapat perubahan kesan dalam beberapa hari akan datang memandangkan cuti tiga hari menjelang hujung minggu dan cuti musim panas yang akan tiba,” katanya.

Bagaimanapun Menteri Ekonomi, Daishiro Yamagiwa, memaklumkan Jepun belum mempertimbangkan sebarang sekatan terhadap pergerakan dan aktiviti.

Related posts

Leave a Comment