NEW YORK – Menjelang pelantikan Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 20 Januari ini, mahkamah menetapkan Jumaat depan, bagi tarikh hukuman kes Donald Trump membabitkan bayaran wang sogokan kepada bintang lucah.
Mahkamah bagaimanapun dijangka tidak akan menjatuhkan hukuman penjara buat Trump.
Hakim, Juan Merchan, berkata Trump, bekas presiden pertama yang pernah disabitkan kesalahan jenayah, boleh hadir secara fizikal atau maya pada tarikh hukuman yang dijadualkan pada 10 Januari.
Dalam keputusan setebal 18 muka surat itu, Merchan mengekalkan sabitan Trump oleh juri New York, sekali gus menolak pelbagai usul daripada peguamnya yang berusaha membatalkan keputusan berkenaan.
Merchan berkata, beliau cenderung memberikan pelepasan tanpa syarat, namun hukuman itu tetap menjadikan Trump, yang bakal memulakan tugasnya di Rumah Putih, sebagai seorang yang disabitkan kesalahan jenayah.
“Adalah wajar pada peringkat ini untuk menyatakan bahawa kecenderungan mahkamah ialah untuk tidak menjatuhkan hukuman penjara,” katanya.
Merchan turut menegaskan, pendakwa raya juga tidak menganggap hukuman penjara sebagai cadangan yang praktikal.
Menurut pakar undang-undang, Trump, 78, boleh berdepan hukuman penjara sehingga empat tahun, namun tidak menjangkakan Merchan akan menjatuhkan hukuman penjara terhadap bekas presiden itu, walaupun sebelum kemenangannya, November lalu.
Trump bagaimanapun dijangka mengemukakan rayuan yang mungkin akan melambatkan hukuman terbabit.
Trump disabitkan di New York pada Mei atas 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan untuk menutup bayaran sogokan kepada bintang lucah, Stormy Daniels, pada malam pilihan raya 2016 bagi ‘menutup mulut’ atau menghalangnya mendedahkan dakwaan hubungan sulit pada 2006.
Peguam Trump cuba membatalkan kes itu atas pelbagai alasan, termasuk keputusan penting Mahkamah Agung tahun lalu yang memberikan bekas presiden AS kekebalan daripada pendakwaan bagi pelbagai tindakan rasmi yang dilakukan semasa dalam jawatan.
Merchan menolak hujah terbabit tetapi menyatakan bahawa Trump akan mempunyai kekebalan daripada pendakwaan apabila beliau mengangkat sumpah sebagai presiden.
“Mahkamah tidak melihat adanya halangan undang-undang untuk menjatuhkan hukuman dan menyedari bahawa kekebalan presiden mungkin terpakai sebaik sahaja defendan mengangkat sumpah, justeru adalah penting bagi mahkamah ini menetapkan hukuman sebelum 20 Januari 2025,” katanya.
Nnn
