NAYPYIDAW – Sempena Hari Kemerdekaan Myanmar yang ke-77, Kerajaan junta tentera akan membebaskan hampir 6,000 banduan termasuk 180 warga asing, dalam tradisi pengampunan tahunan.
Kenyataan junta bagaimanapun tidak memperincikan mengenai jenis kesalahan banduan yang akan dibebaskan dan tahanan warga asing yang bakal dihantar pulang selepas dibebaskan.
Tentera mengatakan pengampunan itu dilaksanakan atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan.
Junta juga mengumumkan bahawa 144 individu yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup akan diberikan pengurangan hukuman kepada penjara 15 tahun.
Myanmar sering memberikan pengampunan kepada ribuan banduan bagi memperingati hari perayaan atau festival Buddha.
Tahun lalu, junta mengumumkan pembebasan lebih 9,000 banduan sempena sambutan Hari Kemerdekaan.
Sebelum ini, tentera Myanmar menahan ribuan penunjuk perasaan dan aktivis sejak rampasan kuasa pada Februari 2021, sekali gus menamatkan pentadbiran demokrasi singkat Myanmar dan menjerumuskan negara itu ke dalam kekacauan.
Antara yang masih dipenjarakan oleh junta adalah bekas pemimpin demokratik negara itu, penerima Hadiah Nobel, Aung San Suu Kyi, namun tidak pasti sama ada beliau adalah antara yang akan dibebaskan.
Pemimpin berusia 79 tahun itu sedang menjalani hukuman penjara selama 27 tahun atas 14 tuduhan jenayah, termasuk hasutan, penipuan pilihan raya, dan rasuah.
Sementara itu, upacara tahunan Hari Kemerdekaan yang diadakan di ibu negara Naypyidaw, hari ini dihadiri kira-kira 500 pegawai kerajaan dan tentera.
Timbalan Ketua Tentera, Soe Win menyampaikan ucapan ketua junta Min Aung Hlaing, yang tidak hadir pada acara itu.
Melalui ucapan itu, Soe Win mengulangi gesaan terhadap kumpulan bersenjata etnik minoriti, yang bertempur dengan junta selama empat tahun, supaya meletakkan senjata dan menyelesaikan isu politik melalui cara damai.
Beliau turut mengulangi janji tentera untuk mengadakan pilihan raya demokrasi yang tertunda dan menggesa ke arah perpaduan negara.
Nnn
