PJH tidak boleh promosi visa mujamalah

KUALA LUMPUR 23 Dis. – Semua 37 syarikat pelancongan tempatan yang dilantik sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji 1446H/2025M tidak dibenarkan mempromosi pakej haji menggunakan visa mujamalah atau furada.

Ketua Jabatan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Mohd Hisham Harun, berkata ia antara syarat ditetapkan agensi itu kepada PJH mengambil kira banyak kes penipuan membabitkan visa berkenaan.

“Visa mujamalah atau visa furada ini memang ada, cuma ia dikeluarkan kepada individu atau organisasi tertentu. Ia biasanya dikeluarkan di saat akhir, biasanya di penghujung bulan Syawal atau pada Zulkaedah.

“Pada masa sama, PJH tidak dibenarkan untuk membuat promosi berkaitan visa ini kerana tidak ada ketentuan dalam mendapatkan visa terbabit.

Kuota kita yang tetap adalah 31,600, tetapi visa furada ini, tak ada ketentuan (jumlah akan dikeluarkan), jadi adalah lebih baik tidak diiklankan,” katanya pada sidang media Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Ke-3 (KHUP 3) di Menara Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Visa mujamalah ialah visa yang dianugerahkan setiap tahun oleh kerajaan Arab Saudi kepada orang-orang tertentu, individu mempunyai kedudukan dalam masyarakat dan kementerian di Malaysia.

Mohd Hisham turut meminta orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sebarang iklan atau promosi kononnya menawarkan visa mujamalah atau furada.

“Ada (pihak) yang dakwa ada visa haji sebenarnya tiada pun. Ini menyebabkan jemaah haji terkandas sama ada di lapangan terbang atau di luar Malaysia dan keadaan ini menyusahkan semua.

Oleh sebab itu kita berharap sekiranya nanti ada (jemaah Malaysia) yang dapat tawaran visa mujamalah atau furada, pilihlah untuk berdaftar dengan PJH untuk mengelakkan tertipu.

“Malah, memang ada banyak syarikat (agensi pelancongan) yang buat iklan, ini menyalahi Akta TH kerana (ada di antaranya) tak dilesenkan dan kemungkinan besar jemaah akan ditipu kerana sikap tidak bertanggungjawab sebegini,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya membuat laporan kepada TH sekiranya mengesan sebarang iklan berkaitan visa mujamalah atau furada.

Tegasnya, agensi itu boleh didenda atau dipenjarakan sekiranya dikenal pasti membuat kesalahan sedemikian.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment