Rakan KKM Partnership tingkat insentif

PUTRAJAYA – Dr Dzulkefly Ahmad akan memastikan semua isu dihadapi oleh warga Kementerian Kesihatan (KKM) di lapangan akan ditangani dalam penggal keduanya sebagai Menteri Kesihatan.

Beliau juga pada masa yang sama menegaskan bahawa KKM tidak memandang enteng lebih 6,000 doktor yang meletak jawatan sepanjang lima tahun lepas.

Katanya, jumlah tersebut juga termasuk 3,200 pegawai perubatan (MO) kontrak yang meletak jawatan untuk beralih ke jawatan tetap, selain sesetengah doktor beralih ke bidang akademik tetapi masih menyumbang kepada pengukuhan sektor kesihatan awam.

“Saya akui dan sedari sepenuhnya bahawa KKM kekurangan kakitangan, sesetengah warga KKM juga terpaksa menanggung bebanan tugas lebih daripada rakan lain. Saya pastinya tidak akan menafikan situasi ini,”  katanya dalam catatan di Facebook.

Catatan berkenaan sebagai membalas pertanyaan pakar perunding nefrologi Dr Rafidah Abdullah yang ingin tahu perancangan dan strategi KKM dalam mengatasi situasi isu peletakan jawatan oleh para doktor.

Dzulkefly berkata ketirisan bakat kekal menjadi cabaran signifikan dalam semua industri, termasuk sektor kesihatan dan KKM tidak dapat menghalang MO dan pakar perubatan daripada berhijrah ke sektor swasta, walaupun telah melaksanakan beberapa strategi untuk mengekalkan mereka dalam sektor awam.

“Dalam jangka sederhana, dengan inisiatif Rakan KKM Partnership, kita akan saksikan beberapa perubahan. Prospek ganjaran lebih baik dan fasiliti kesihatan dinaik taraf – yang bakal dicapai melalui subsidi silang oleh pendapatan baharu daripada ‘perkhidmatan ekonomi premium ‘#RakanKKM’ – diharapkan dapat meningkatkan insentif untuk mereka kekal dalam sektor awam.

“Langkah jangka pendek termasuk kenaikan dan pelarasan gaji, jadual kerja lebih anjal, dan membenarkan amalan lokum. KKM terus komited untuk meningkatkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan, serta kebajikan profesional perubatan seluruhnya,” katanya.

Mengenai kekurangan kakitangan di Hospital Seri Manjung, Perak, Dzulkefly berkata Bahagian Sumber Manusia (BSM) akan mengagihkan lebih banyak MO ke jabatan yang kritikal.

“Terdapat peningkatan pengagihan MO ke semua fasiliti KKM setiap tahun, dan sebuah kohort baharu MO baru sahaja diagihkan pada minggu lepas. Oleh itu, Hospital Seri Manjung juga akan segera menerima tambahan kakitangan perubatan.

“Cabaran ini juga bukan terhad kepada Hospital Seri Manjung sahaja, namun dihadapi di seluruh negara. Oleh itu, KKM akan berusaha sedaya upaya untuk menangani keperluan mendesak ini,” katanya.

Beliau juga kekal komited untuk merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment