KUALA LUMPUR 22 Dis . – Serangan sekumpulan anjing luar menjadi punca kematian beberapa ekor kucing di kampus Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa berkata, ia selepas siasatan polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar.
Pada masa yang sama Rusdi berkata hasil semakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) turut mengesahkan kecederaan yang dialami kucing-kucing berkenaan adalah akibat serangan haiwan liar.
“Polis menerima tiga laporan berhubung kejadian ini pada 17, 20 dan 21 Disember lalu. Namun, tiada saksi insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau melaporkannya ke balai polis berhampiran.
Aduan rasmi berhubung penganiayaan haiwan juga boleh dibuat menerusi laman web Jabatan Perkhidmatan Veterinar di pautan awa.dvs.gov.my bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap individu yang terbabit,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan rasa tidak puas hati netizen berhubung kejadian didakwa pembunuhan dua kucing yang dikaitkan dengan perbuatan dera.
Kejadian berlaku di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, di sini, dan perkongsian itu turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
KMUM FPE dilaporkan berkata, pihaknya amat terkejut serta sedih dengan kes penderaan kucing yang berlaku pada 12 Disember dan 16 Disember lalu.
Terdahulu pada 18 Disember lalu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, mengesahkan dua kucing yang mati di sebuah fakulti UM, bukan kerana dibunuh atau didera, sebaliknya akibat diserang anjing.
“Siasatan dijalankan dan mendapati kematian kucing-kucing itu adalah disebabkan serangan anjing liar di kawasan terbabit,” katanya melalui kenyataan.
Nnnn
