Siasat pembunuhan 3 kakitangan WFP

HAMILTON – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengecam pembunuhan tiga kakitangan Program Makanan Sedunia (WFP) di Sudan dan menyeru siasatan menyeluruh dijalankan.

Jurucakap Stephane Dujarric dalam satu kenyataan bagi pihak Guterres berkata, Setiausaha Agung amat marah dengan pembunuhan pada 19 Disember, apabila pejabat lapangan agensi itu di Yarbus, Blue Nile State, terkena serangan udara.

Sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan rakan sekerja mereka di WFP, beliau juga mengutuk sekeras-kerasnya semua serangan ke atas kakitangan dan kemudahan PBB serta bantuan kemanusiaan di samping menyeru agar siasatan menyeluruh dilakukan.

Kenyataan itu turut menekankan kesan buruk yang dialami oleh konflik ganas di Sudan terhadap jutaan orang yang memerlukan bantuan serta pekerja kemanusiaan yang cuba menyampaikan bantuan penting.

“Tahun 2024 adalah tahun paling berdarah yang direkodkan bagi petugas bantuan di Sudan. Walaupun berdepan ancaman besar terhadap keselamatan, mereka terus berusaha sedaya mungkin memberikan sokongan penting di mana sahaja ia diperlukan,” kata kenyataan itu.

Guterres juga menyeru semua pihak untuk mematuhi tanggungjawab mereka melindungi orang awam termasuk kakitangan bantuan, serta premis dan bekalan kemanusiaan.

“Serangan tidak boleh diarahkan terhadap mereka, dan semua langkah wajar mesti diambil untuk mengelakkan bahaya kepada mereka.

“Selepas lebih 20 bulan konflik di Sudan, Setiausaha Agung sekali lagi menegaskan keperluan untuk gencatan senjata segera. PBB akan terus menyokong usaha pengantaraan antarabangsa dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan yang relevan untuk membantu menamatkan perang,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment