Kedudukan PM Kanada tergugat

OTTAWA – Kedudukan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, kini tergugat selepas sekutu utamanya mengumumkan rancangan untuk menggulingkan kerajaan minoriti Liberal sekaligus mengadakan pilihan raya.

Beliau dijangka kehilangan kuasa awal tahun depan setelah Ketua Parti Demokratik Baharu (NDP), Jagmeet Singh, mengemukakan usul tidak percaya secara rasmi selepas Dewan Rakyat kembali bersidang pada 27 Januari.

Trudeau, yang telah memegang jawatan Perdana Menteri selama lebih daripada sembilan tahun, sebelum ini mendapat sokongan NDP

Pengumuman Singh dibuat tidak lama selepas Menteri Kewangan Trudeau secara mengejut meletakkan jawatan minggu ini, menambah tekanan kepada perdana menteri itu untuk berundur.

Sekiranya semua parti pembangkang menyokong usul NDP, Trudeau, akan kehilangan kuasa dan pilihan raya akan diadakan.

Tinjauan dalam 18 bulan terakhir menunjukkan parti Liberal sedang menghadapi keletihan sokongan pengundi, ditambah kemarahan terhadap kenaikan harga dan krisis perumahan.

Parti itu diramal mengalami kekalahan teruk kepada parti Konservatif, pembangkang rasmi yang berhaluan kanan.

NDP, yang turut menyasarkan sokongan pengundi kiri tengah, mengkritik Trudeau kerana terlalu bergantung kepada kepentingan korporat besar.

Sementara itu, Trudeau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi dan mempengerusikan rombakan Kabinet selepas pengumuman tersebut.

Trudeau juga membatalkan tradisi temu bual akhir tahun dengan media tempatan dan enggan menjawab soalan mengenai peletakan jawatan Menteri Kewangannya.

Related posts

Leave a Comment