KUALA LUMPUR 20 Dis. – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyalurkan bantuan bernilai RM580,000 kepada mangsa banjir di tujuh negeri membabitkan bakul makanan, toto dan kit pembersihan berdasarkan keperluan di kawasan terjejas.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ramanan Ramakrishnan, berkata pelbagai misi bantuan telah digerakkan ke Kelantan, Perak, Johor, Kedah, Melaka, Perlis dan Terengganu melalui inisiatif Skuad Ihsan MADANI SKM Prihatin dan Gerakan Koperasi
Beliau berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SKM komited untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara.
Daripada jumlah peruntukan tersebut, negeri Kelantan merupakan negeri terbesar yang menerima peruntukan iaitu sebanyak RM200,000 memandangkan negeri itu mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi yang terjejas akibat bencana.
Dijangka lebih 2,000 ketua isi rumah (KIR) akan dibantu dalam misi bantuan ini untuk negeri Kelantan, manakala secara keseluruhannya sebanyak 5,800 KIR akan menerima manfaat ini.
Ramanan berkata misi itu menegaskan pentingnya solidariti tanpa mengira latar belakang politik.
“SKM sudah lama menjadikan bantuan bencana sebagai amalan berterusan. Selain mangsa banjir umum, koperasi-koperasi yang terkesan juga layak menerima bantuan.
“Melalui Tabung Kecemasan, koperasi yang mengalami kerosakan aset boleh menuntut sehingga RM30,000, dengan syarat laporan polis dan pematuhan kepada terma tertentu,” katanya.
Terdahulu, Ramananmelancarkan Skuad Ihsan MADANI SKM Prihatin dan Gerakan Koperasi yang melibatkan pelepasan empat belas buah kenderaan jenis 4×4 dan sebuah lori yang akan mewakili 14 Parlimen di seluruh negeri Kelantan.
Hadir sama Ketua Setiausaha KUSKOP, Khairul Dzaimee Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Zamri Salleh, Pengerusi SKM Leftenan Jeneral (B) Ahmad Norihan Jalal dan Ketua Pegawai Ekskekutif SKM Rusli Jaafar.
Nnnn
