KUALA LUMPUR 20 Dis. – Sebuah pelan integrasi yang komprehensif akan dilaksanakan bagi memastikan kebajikan kedua-dua rakyat Malaysia yang diserahkan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini selepas ditahan di pusat tahanan Teluk Guantanamo di Cuba sejak 18 tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail melalui hantaran di Facebooknya berkata, pelan ini dirancang untuk memastikan pemulihan yang menyeluruh dan membolehkan individu berintegrasi semula ke dalam masyarakat.
Katanya, Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani yang prihatin dan ihsan akan kebajikan dua-duanya menyusun program melalui tiga fasa utama yang setiap satunya menitikberatkan keseimbangan antara pemulihan individu dan keharmonian sosial.
“Sebagai pelengkap kepada pelan ini, mekanisme pemantauan rapi turut dirangka untuk memastikan keberkesanan pelaksanaannya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan pemantauan berterusan, termasuk lawatan berkala bagi menilai kemajuan pemulihan serta memastikan kebajikan subjek terus terjaga,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan dilaksanakan ini bukan saja mencerminkan komitmen teguh kerajaan terhadap kesejahteraan semua warganegara tetapi juga menonjolkan nilai-nilai Malaysia Madani yang mengutamakan peluang kedua dan keadilan sosial.
Saifuddin turut berkongsi infigrafik meliputi tiga fasa iaitu peralihan, integrasi keluarga serta kelangsungan hidup.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini sudah mengarahkan, dua rakyat Malaysia itu, Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep menjalani proses penilaian seterusnya memasuki fasa pemulihan secara komprehensif sebelum direintegrasi ke dalam masyarakat.
Sebelum ini, Mohammed Nazir dan Mohammed Farik Amin berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera AS, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar, mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta, pada Ogos 2003.
Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006.
Nnn
