KUALA LUMPUR 20 Dis. – Mulai Isnin ini, sebanyak 14 barang keperluan diletakkan di bawah penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 selama lima hari.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Armizan Mohd Ali, berkata barang berkenaan turut meliputi barang tertentu khusus untuk Sabah, Sarawak dan Labuan
Katanya, 14 barang itu meliputi ayam tua hidup (di Sarawak sahaja), kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar import, bawang kuning besar, ubi kentang import China dan babi hidup (peringkat ladang sahaja).
Beliau berkata, penguatkuasaan kawalan harga maksimum bagi kepak ayam, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak) memfokuskan kepada bekalan di Sabah, Sarawak serta Labuan sahaja.
Armizan berkata, pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 kali ini bersesuaian mengikut keadaan semasa, mewujudkan suasana menang-menang di mana pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.
“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti ketersediaan penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan faktor-faktor lain-lain.
“Selain itu, penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada rakan strategik Kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan dan pemain industri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan skim itu sempena Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Krismas di UTC Sentul, di sini hari ini.
Menerusi pelaksanaan SHMMP Krismas 2024, Armizan berkata ia akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat.
Orang ramai juga boleh menyemak harga maksimum yang ditetapkan untuk skim perayaan itu di peringkat pemborong dan peruncit, menerusi laman web www.kpdn.gov.my.
“Pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara turut akan ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan bagi menjalankan pemeriksaan serta penguatkuasaan untuk melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak beretika,” katanya.
Bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal sentiasa mencukupi, Armizan berkata KPDN akan terus menjalinkan kerjasama dengan KPKM sepanjang tempoh pelaksanaan skim berkenaan.
“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya,” tegasnya.
Bersempena dengan pengumuman SHMMP Krismas 2024, Armizan turut melancarkan PJRM sempena perayaan itu dan akan diadakan bagi setiap sambutan perayaan.
Bagi PJRM Krismas tahun ini, sebanyak 670 PJRM dilaksanakan di seluruh negara.
Nnn
